bisnes

Firefly tambah 10 pesawat

SYARIKAT penerbangan tambang rendah, Firefly menambah 10 pesawat berbadan sempit secara berperingkat mulai suku pertama 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Izham Ismail berkata, pertambahan itu bagi membolehkan anak syarikatnya itu mempertingkatkan penerbangan domestik, Asean dan Asia Pasifik dari pangkalan baharunya di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Beliau berkata, penyediaan operasi pangkalan Firefly di Pulau Pinang itu memerlukan pelaburan minimum MAG pada tahun depan dengan jangkaan peningkatan pengeluaran serta kapasiti tempat duduk setiap kilometer (ASK) sebanyak 36 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

Berdasarkan jangkaan ketika ini, katanya, perjalanan domestik dan jarak dekat antara yang mendapat permintaan tinggi ketika ini, sekali gus memenuhi permintaan yang semakin meningkat dari wilayah utara.

Katanya, ini juga sejajar peningkatan Rancangan Perniagaan Jangka Panjang Kumpulan (LTBP 2.0) yang diselaraskan semula supaya sesuai dengan situasi dan persekitaran pasca Covid-19.

Pada masa sama katanya, kumpulan memberi fokus pada pengukuhan aliran pendapatan anak syarikatnya.

"Dengan rancangan ini, Firefly menjadi pelengkap syarikat bersekutunya, Malaysia Airlines Bhd dalam melayani pasaran riadah disamping mempelbagaikan laluan yang menghubungkan bandar di Malaysia dengan Sabah, Sarawak, Thailand, Indonesia dan Singapura.

"Ini memanfaatkan sumber dan bakat yang ada dalam MAG dengan kemungkinan menggunakan pesawat Boeing 737-800 daripada Malaysia Airlines.

"Ini memberi ruang kepada Malaysia Airlines fokus pada rangkaian pasaran premiumnya," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Philip See berkata, pasaran global berubah sejak pandemik Covid-19 dan syarikat penerbangan perlu menerapkan perubahan sejajar kehendak pasaran.

Beliau berkata, Firefly bersedia memikul cabaran itu, melihat kepada potensi yang kukuh dalam strategi dual hab ini, di samping mempertahankannya perkhidmatan turbo propeller dari Subang Skypark.

"Dengan operasi pesawat baharu, Firefly menawarkan konsep perkhidmatan yang fleksibel dengan pembaharuan produk sesuai dengan pelanggan," katanya.

Penumpang Firefly terus menikmati keistimewaan dan perkhidmatan seperti syarikat penerbangan premium termasuk bagasi 20 kilogram percuma serta peluang memperoleh dan menebus Enrich.

Disiarkan pada: October 17, 2020 @ 9:00am
d