bisnes

LifeCare Property beli pusat beli belah SS2

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: LifeCare Property (SS2) Sdn Bhd, anak syarikat pengendali rawatan perubatan swasta LifeCare Diagnostic Medical Center membeli pusat membeli-belah SS2 dari DK-MY Properties Sdn Bhd yang akan direvitalisasi menjadi pusat gaya hidup penjagaan kesihatan sehenti pertama di Malaysia.

Pusat beli-belah ini adalah bagi menyediakan penyelesaian perubatan profesional pada harga berpatutan untuk masyarakat dan akan menempatkan kemudahan kepakaran pertama di negara ini, seperti Hospital Urologi dan Nefrologi.

Ini adalah tambahan kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang menyeluruh termasuk penjagaan primer dan pakar.

Pengarah Urusan LifeCare, Dr Ong Kee Liang berkata, pihaknya komited membawa bidang perubatan terkini dalam komuniti tempatan dan global.

"Pusat beli-belah ini adalah sebahagian daripada misi penjagaan kesihatan kami untuk menyediakan pilihan penjagaan kesihatan lebih besar dan menjadikan proses mendapatkan rawatan perubatan lebih mudah diakses," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kerja pembaikan sedang dilakukan untuk pusat beli-belah itu dan dijangka dapat dibuka untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat pada pertengahan 2021.

LifeCare DK Mall itu akan menempatkan Hospital Urologi dan Nefrologi dengan wad 20 tempat tidur, ruang operasi dengan peralatan terkini, pusat pemulihan dan fisioterapi, pusat jagaan orang tua dan jabatan pengimejan diagnostik maju.

Selain itu, terdapat rancangan untuk membabitkan vendor menduduki lot runcit di pusat beli-belah berkenaan bagi menawarkan produk dan perkhidmatan pelengkap kepada pelanggan, seperti perubatan tradisional Cina dan kiropraktik,

Konsep pusat beli-belah baharu ini direka dengan mengutamakan keperluan masyarakat.

DK-MY Properties juga akan memperkenalkan dua blok kediaman sempena pelancaran LifeCare DK Mall.

Disiarkan pada: October 19, 2020 @ 1:02pm
d