bisnes

Baucar digital galak ramai melancong

Oleh Bisnes Metro

Kuala Lumpur: OYO Hotels and Homes meminta kerajaan membantu memulihkan industri pelancongan menerusi pelan tindakan serampang dua mata yang menggabungkan bantuan kewangan dan bukan kewangan.

Ketua Malaysia dan Singapura, OYO Hotels and Homes, Tan Ming Luk berkata, kerajaan dicadangkan melaksanakan insentif kewangan berbentuk baucar pelancongan digital bernilai RM200 untuk digunakan di hotel dan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia melancong dalam negara bagi menyokong perniagaan berkaitan hospitaliti dan pelancongan.

Katanya, kos keseluruhan inisiatif itu dianggarkan RM4.2 bilion untuk dimanfaatkan 21 juta penduduk, dijangka menjana RM25.2 bilion kepada industri pelancongan berdasarkan kepada kesan penggandaan 6.5 kali.

"Pendekatan terbaik untuk tujuan itu bukan menerusi percukaian, tetapi sebaliknya menerusi peruntukan lebih banyak manfaat bersasar. Justeru, kami mengesyorkan setiap individu yang layak (18 tahun ke atas) untuk menerima baucar bernilai RM150 untuk penginapan dan RM50 untuk pengalaman.

"Bagi memastikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan mikro dalam sektor hospitaliti mendapat manfaat secara terus daripadanya, kami mencadangkan supaya baucar ini diberikan dalam denominasi kecil bagi menggalakkan penerima bermalam di penginapan bajet serta nilai di mana purata kadar bilik adalah antara RM50 hingga RM80 semalam," katanya dalam satu kenyataan.

Tan berkata, langkah itu juga akan memberi manfaat kepada rantaian bekalan sektor pelancongan, terutama makanan dan minuman (F&B) yang mana kebanyakannya dimiliki dan dikendalikan kumpulan M40 dan B40 yang merangkumi 80 peratus daripada jumlah penduduk di Malaysia.

"Purata kecenderungan untuk berbelanja lebih tinggi dalam kalangan segmen pendapatan rendah dan sederhana rendah dan disebabkan itu dua kumpulan berkenaan dapat membantu meningkatkan ekonomi negara dengan berbelanja," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Disiarkan pada: October 22, 2020 @ 7:10am
    d