bisnes

Maxis catat momentum positif

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Maxis Berhad (Maxis) terus mencatatkan hasil perkhidmatan yang stabil, keuntungan selepas cukai (Pat) yang memberangsangkan bagi suku ketiga berakhir 30 September 2020 biarpun berdepan dengan situasi Covid-19.

Prestasi itu disokong menerusi pelan Hotlink Prepaid Unlimited dan MaxisONE yang menarik serta perniagaan fibernya yang mencatat suku pertumbuhan kukuh, dengan pelan MaxisONE Prime.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Gokhan Ogut berkata, secara keseluruhan, prestasi Maxis suku ketiga ini mencerminkan momentum positif strategi konvergen syarikat sambil mengharungi cabaran akibat Covid-19.

Katanya, Maxis tetap fokus pada tujuannya untuk menyatukan teknologi terbaik untuk membantu rakyat, perniagaan dan negara bagi terus meneraju dunia yang sentiasa berubah.

"Sekali lagi, kami memberikan prestasi yang teguh bagi suku ini, didorong ketangkasan dalam menyesuaikan diri dengan suasana yang sentiasa berubah dan amat mencabar.

"Menjaga keselamatan pekerja, pelanggan dan komuniti terus menjadi keutamaan kami di samping memberi tumpuan untuk menyediakan kesalinghubungan yang boleh dipercayai dan pengalaman peribadi yang tiada tandingannya.

"Bagi perusahaan, kami komited untuk mengembangkan penyelesaian inovatif dan menjadi rakan utama dalam membantu mereka mencapai cita-cita digital mereka.

"Strategi konvergen, fiber dan perusahaan kami sudah dilipat ganda untuk terus mencipta nilai bagi pihak berkepentingan kami," katanya dalam kenyataan, semalam.

Sementara itu, Maxis terus melihat lonjakan penggunaan data berikutan kesan Covid-19 dan pelaksanaan bekerja dari rumah serta tempoh penebusan penawaran Internet Produktiviti percuma 1GB sehari yang dilanjutkan.

Secara campuran, pelanggan Maxis menggunakan rata-rata 19.49GB sebulan, meningkat 28.6 peratus tahun ke tahun.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 26, 2020 @ 8:25am
    d