bisnes

#MyMudah tangani peraturan tidak produktif

KERAJAAN memperkenalkan program #MyMudah bagi menangani peraturan tidak produktif serta membebankan yang sering kali menjadi penghalang kepada pemulihan dan pertumbuhan perniagaan ketika ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong berkata, program itu adalah kerjasama antara kementeriannya bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Katanya, perniagaan memerlukan penjimatan masa dalam pemulihan dan pertumbuhan mereka kerana setiap saat yang terbazir akan memberi kesan kepada kewangan perniagaan itu.

Melalui #MyMudah, katanya, perniagaan akan dapat mengurangkan kos pematuhan peraturan dan melabur dalam lebih banyak penciptaan peluang pekerjaan untuk merangsang ekonomi.

Katanya, pembuat dasar, pengawal selia atau badan pengatur digalakkan untuk sama ada memansuhkan, mengkaji semula dan mengetepikan peraturan tertentu untuk sementara atau selama-lamanya, jika didapati membebankan perniagaan dan menghalang pertumbuhan ekonomi mereka.

"Saya tidak sabar untuk melihat lebih banyak masalah dapat diselesaikan di bawah inisiatif #MyMudah kerana ini akan meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan untuk industri tempatan serta mempercepat pemulihan ekonomi Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sejak dilancarkan pada 20 Julai lalu oleh MPC, 300 isu permasalahan sudah dikemukakan melalui portal Unified Public Consultation (UPC).

Daripada jumlah itu, 58 peratus isu adalah berkenaan perkhidmatan, 22 peratus mengenai dasar kerajaan, sembilan peratus (pembinaan), tujuh peratus (pertanian), tiga peratus (pembuatan) dan tiga peratus (perlombongan serta penggalian).

MPC juga katanya, sudah melaksanakan pelbagai aktiviti dan libat urus bersama perniagaan seperti perbincangan meja bulat secara maya bagi mengenal pasti masalah peraturan yang dihadapi mereka.

"Satu kejayaan dari #MyMudah misalnya adalah kelulusan teknikal pantas untuk projek pembinaan.

"Melangkah ke hadapan, Miti (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) melalui MPC akan meningkatkan usaha menangani dan menyelesaikan pelbagai isu industri yang disalurkan melalui portal UPC.

"Perniagaan dan pihak berkepentingan utama perlu bekerjasama dengan kerajaan untuk mengurangkan beban peraturan dengan berkongsi maklumat mereka mengenai masalah peraturan yang tidak produktif," katanya.

Disiarkan pada: October 27, 2020 @ 7:10am
d