bisnes

Pertimbang caj perkhidmatan penumpang lebih murah

KERAJAAN disaran mempertimbangkan pengurangan caj perkhidmatan penumpang (PSC) bagi penerbangan antarabangsa di semua lapangan terbang di negara ini untuk menarik pelancong asing apabila sempadan dibuka semula, kata ahli akademik.

Ketika ini, PSC yang diwartakan kepada penumpang penerbangan domestik dan Asean di semua lapangan terbang tempatan, masing-masing RM11 dan RM35, manakala RM73 dikenakan kepada penumpang antarabangsa bukan Asean.

Profesor Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Datuk Shazali Abu Mansor berkata, cukai lapangan terbang yang lebih murah akan menarik pelancong asing ke negara ini.

Malah, katanya, langkah itu juga akan mewujudkan limpahan positif yang lebih besar kepada ekonomi dan membantu merangsang pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Kita bergantung kepada pelancongan, maka kita perlu menjadi lebih berdaya saing berbanding negara jiran.

"Ia langkah strategik dan perkara yang perlu dipertimbangkan kerajaan untuk diberikan subsidi pada Belanjawan 2021 untuk menarik lebih ramai pelancong dan menjana lebih banyak wang kepada negara," katanya.

PSC ditentukan dan dikawal selia Suruhanjaya Penerbangan Malaysia, entiti yang ditubuhkan kerajaan sebagai badan bebas untuk mengawal selia hal ekonomi dan komersial dalam industri penerbangan.

Cukai itu dikenakan kepada semua penumpang yang meninggalkan negara ini untuk penggunaan kemudahan lapangan terbang dan dikutip syarikat penerbangan bagi pihak operator lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd.

Shazali berkata, lapangan terbang tidak sepatutnya digunakan sebagai platform menjana keuntungan dan kutipan PSC itu sewajarnya hanya mencukupi untuk menampung kos yang diperlukan.

"Kadangkala kita dapat melihat tambang penerbangan yang agak rendah, namun cukai lapangan terbang yang tinggi sudah menambahkan kos perjalanan, menyebabkannya menjadi lebih mahal," katanya.

Disiarkan pada: October 31, 2020 @ 7:10am
d