bisnes

Transformasi AFFINBANK

AFFIN Bank Berhad (AFFINBANK) memperkenalkan identiti serta logo diberi nafas baharu kepada bunga raya yang menjadi warisan lambang AFFINBANK sejak 45 tahun dahulu, sekali gus melambangkan permulaan perjalanan metamorfosisnya untuk menjadi bank yang moden dan progresif.

Logo baharu itu adalah versi moden bunga raya diinspirasikan daripada bunga kebangsaan Malaysia yang melambangkan keberanian, kehidupan dan pertumbuhan pesat.

Bunga raya yang sememangnya adalah elemen asal logo AFFINBANK sebelum ini, kini diubah sebagai satu lambang yang moden.

Lima kelopak bunga raya melambangkan nilai teras AFFINBANK sebagai organisasi yang sentiasa berinovasi, berubah dengan keadaan semasa, sentiasa mengutamakan pelanggan dan memberi penekanan kepada integriti sebagai pegangan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali berkata, logo baharu itu adalah pernyataan visual bagi visi, nilai, kekuatan, perkhidmatan dan integriti bank itu.

"Sempena ulang tahun bank yang ke-45, kami majukan warisan kami ke hadapan dengan penampilan dan identiti baru untuk mewakili transformasi untuk muncul sebagai institusi kewangan moden masa depan. Ini masa yang terbaik untuk menilai semula kedudukan kami dalam usaha memberikan nilai terbaik kepada pelanggan," katanya dalam satu kenyataan.

Wan Razly berkata, evolusi logo itu juga melambangkan perjalanan transformasi AFFINBANK untuk menjadi bank yang progresif pada masa hadapan dengan mendukung pelaksanaan teknologi dalam persekitaran perniagaan yang kian berubah.

"Kami percaya identiti korporat baharu AFFINBANK itu dapat menonjolkan jenama bank sebagai satu jenama yang dapat memberikan perkhidmatan pelanggan tiada tandingan serta memberikan nilai terbaik kepada pemegang berkepentingan," katanya.

Warna biru melambangkan fokus kepada pelanggan serta kesetiaan terhadap nilai teras bank manakala gabungan yang harmoni bersama warna merah mewakili tenaga dan dedikasi dalam memberi nilai kepada pelanggan, pemegang berkepentingan dan kakitangan.

AFFINBANK juga memperkenalkan slogan yang baharu iaitu 'Sentiasa Untuk Anda' yang melambangkan semangat dan komitmen kepada pelanggan, bertindak pantas terhadap sebarang perubahan dan memberikan pengalaman tersendiri kepada pelanggan.

"Di Kumpulan AFFIN, kami berusaha untuk kekal berhubung dengan pelanggan kami untuk memahami keperluan dan aspirasi mereka. Warga kerja kami juga membudayakan nilai teras yang bertumpukan kepada pelanggan, kreativiti dan pewujudan nilai.

"Motto 'Sentiasa Untuk Anda' diilhamkan untuk meningkatkan kesetiaan pelanggan dan membina reputasi kami sebagai institusi kewangan yang kreatif dan inovatif.

"Kakitangan kami juga sentiasa menjadi keutamaan dan kekal sebagai fokus budaya kerja yang berfokuskan pelanggan," katanya.

Sehingga kini, AFFINBANK mempunyai kekuatan kakitangan seramai 7,000 orang di 110 cawangan di seluruh negara.

Disiarkan pada: November 6, 2020 @ 7:10am
d