bisnes

Belanjawan 2021 rangsang beli-belah dalam talian

Oleh Bisnes HM

Kuala Lumpur: Lazada Malaysia menyifatkan peruntukan Belanjawan 2021 akan merangsang tabiat membeli-belah dalam talian dan berperanan memberi kelebihan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

Platform e-dagang itu dalam kenyataan berkata, peruntukan perbelanjaan bagi meningkatkan transformasi e-dagang dan e-dompet akan menggalakkan lebih banyak perniagaan untuk memasuki dalam talian dan pendigitalan.

"Inisiatif ini juga akan mengukuhkan daya tahan PKS.

"Kami bekerjasama rapat dengan kerajaan dalam e-Dagang PKS & Mikro Penjana, Penjana Shop Malaysia Online, Buy Malaysia dan inisiatif e-Bazar Selangor serta melihat PKS mampu memperoleh manfaat perniagaan yang positif dalam tempoh yang mencabar ini.

"Oleh itu, kami amat menghargai peruntukan sebanyak RM300 juta untuk kesinambungan kempen e-Dagang PKS & Mikro Penjana serta Shop Malaysia Online, yang akan merangsang lagi tabiat membeli-belah dalam talian dan berperanan memberi kelebihan kepada lebih 500,000 PKS tempatan bagi membantu mereka meraih manfaat daripada ekonomi digital," katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, selepas berjaya menarik sekitar 50,000 PKS tempatan ke dalam Lazada tahun ini, ia tetap komited untuk menyokong perniagaan tempatan khususnya, bagi mengalihkan tumpuan kepada penyelesaian dalam talian.

Selain itu, Lazada mengalu-alukan peruntukan RM75 juta untuk program eBelia bagi mempromosikan gaya hidup tanpa tunai ke arah transaksi digital yang selamat, mudah dan pantas.

"Kami mendapati ia sangat merangsangkan apabila kerajaan mula memberi penekanan kepada trend e-dompet yang telah menjadi ciri penting normal baharu, terutamanya melalui platform kami. Hari ini, seorang daripada tiga pelanggan Lazada Malaysia memilih Lazada Wallet untuk menjalankan transaksi dalam talian mereka.

"Ini dicerminkan melalui kempen-kempen kami sebelum ini seperti Jualan Super Pertengahan Tahun 7.7 kami, yang mana Lazada Wallet menjadi kaedah pembayaran yang paling disukai, dengan peningkatan hampir 40 peratus dari tahun ke tahun dalam penerimaan," katanya.

Sementara itu, peruntukan untuk meningkatkan kesalinghubungan digital melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan sumbangan lain, yang akan meningkatkan akses Internet bagi segmen B40, adalah inisiatif-inisiatif yang akan mewujudkan masyarakat digital yang lebih inklusif.

"Kami juga mengalu-alukan kemasukan penunggang penghantaran dalam skim kecederaan pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), yang akan memberi manfaat kepada 40,000 penunggang di seluruh negara, kerana kami sedar mereka yang berada dalam sektor logistik sentiasa bekerja keras bagi menyokong perniagaan e-dagang Lazada dan memberikan perkhidmatan kepada pelanggan kami setiap hari," katanya.

Disiarkan pada: November 11, 2020 @ 11:48am
d