bisnes

Perolehan FGV meningkat RM3.99b

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: FGV Holdings Berhad (FGV) mencatatkan peningkatan pendapatan ketara kepada RM3.99 bilion untuk suku ketiga berakhir 30 September 2020 berbanding RM3.55 bilion pada suku ketiga 2019.

FGV turut mencatatkan keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT) sebanyak RM173 juta, peningkatan ketara daripada kerugian sebelum zakat dan cukai (LBZT) sebanyak RM363 juta pada suku yang sama sebelumnya.

Prestasi kewangan yang lebih baik itu sebahagian besarnya disebabkan harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi dan kerugian lebih rendah di sektor gula.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, pihaknya gembira melaporkan hasil positif dua suku berturut-turut untuk FGV.

"Biarpun pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) sejajar dengan pengeluaran nasional, pengeluaran tandan buah segar (TBS) FGV terus melebihi pengeluaran nasional yang dikaitkan dengan peningkatan pemulihan tanaman dan kawasan yang lebih matang.

"Rancangan strategik FGV untuk terus berkembang dan memperkukuhkan aktiviti perniagaan tambah nilai tinggi yang memfokuskan kepada pertanian bersepadu dan barang pengguna bergerak pantas (FMCG) berada di landasan yang tepat dan berpotensi dipercepatkan.

"Perniagaan tenusu kami menunjukkan potensi pertumbuhan positif dengan pengeluaran susu segar melalui ladang kami di Linggi, di mana kilang susu segar baru dengan kapasiti 30,000 liter sehari dijadualkan siap pada separuh pertama 2021," katanya pada sidang media pengumuman keputusan kewangan suku ketiga 2020 FGV secara maya di sini, semalam.

Menurutnya, ladang itu juga menjalani kerja penambahbaikan yang akan siap pada pertengahan Disember ini sebelum ketibaan kumpulan baharu 132 lembu dari Australia.

Disiarkan pada: November 18, 2020 @ 7:00am
d