bisnes

Izzaddin sertai anggota lembaga pengarah GSMA

Kuala Lumpur: Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Timbalan GCEO) dan bakal GCEO Axiata Group Bhd (Axiata), Datuk Izzaddin Idris dilantik sebagai anggota lembaga pengarah Persatuan GSM (GSMA) selama dua tahun mulai Januari tahun depan hingga Disember 2022.

GSMA adalah organisasi global yang mewakili kepentingan pengendali mudah alih di seluruh dunia, menyatukan lebih 750 pengendali dan hampir 400 syarikat dalam ekosistem mudah alih yang meluas.

Menerusi kenyataan Axiata semalam, Izzaddin berkata, pelantikan itu menunjukkan keyakinan dan pengiktirafan berterusan GSMA terhadap pencapaian Axiata di 11 negara di Asia Tenggara dan Asean dengan mengendalikan syarikat telekomunikasi digital, perniagaan digital serta sebuah syarikat infrastruktur serantau.

"Kami menyedari peranan industri telekomunikasi berkembang daripada menjadi penyedia kesalinghubungan kepada jentera pertumbuhan digital yang penting untuk membangunkan semula ekonomi dan masyarakat di seluruh dunia," katanya.

Disiarkan pada: November 18, 2020 @ 4:01pm
d