bisnes

Petronas Chemicals catat untung bersih RM1.1 bilion

Oleh Bisnes HM

Kuala Lumpur: Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM1.1 bilion untuk tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2020, berdasarkan prestasi operasi yang kukuh sewaktu pemulihan pasca perintah berkurung.

Melonjak daripada antara paras terendah pada 2Q2020, harga produk petrokimia beransur pulih disebabkan kenaikan dalam industri pembuatan global serta pemulihan harga minyak mentah, mengurangkan tekanan pada margin keuntungan.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Sazali Hamzah berkata, PCG mencatatkan prestasi yang lebih kukuh pada 3Q2020 hasil tumpuan yang berterusan kepada kecemerlangan operasi dan komersial, yang memastikan kesediaan Kumpulan dalam merebut peluang sewaktu pemulihan pasaran.

"Digabungkan dengan kedudukan kukuh di pasaran rantau ini dan kerjasama erat bersama pelanggan kami, PCG berada pada posisi yang baik untuk meraih kelebihan daripada pembukaan semula ekonomi serantau dan penyambungan semula aktiviti pembuatan.

"Faktor-faktor ini, bersama dengan harga minyak mentah yang stabil telah membawa kepada pemulihan permintaan dan peningkatan harga petrokimia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi suku ketiga 2020, PCG mencatatkan peningkatan jumlah penpeluaran dan kadar penggunaan loji lebih tinggi sebanyak 95 peratus.

Pendapatan kekal stabil pada RM10.5 bilion walaupun mencatatkan penurunan sebanyak 15 peratus tahun ke tahun di mana sebahagian besarnya disebabkan oleh harga produk lebih rendah, didorong oleh harga minyak mentah yang lebih rendah dan permintaan petrokimia yang rendah serta tahap penawaran yang tinggi.

Margin Perolehan Sebelum Faedah, Percukaian, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) merosot kepada 23 peratus disebabkan oleh mampatan margin produk didorong oleh harga lebih rendah.

EBITDA dan keuntungan selepas cukai (PAT) masing-masing berjumlah RM2.4 bilion dan RM1.1 bilion.

Sazali berkata, projek di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) dijadualkan bermula pada 1Q2021.

"PIC akan meningkatkan kapasiti pengeluaran petrokimia kami sekitar 15 peratus kepada 14.6 juta metrik tan setahun"

"Di sebalik persekitaran perniagaan yang mencabar, PCG akan meneruskan usaha pelaburan kami dalam rantai nilai hiliran dan bahan kimia khusus seperti derivatif butadiena, etoksilat, poliol polieter dan derivatif silikon," katanya.

Menurutnya, melangkah ke hadapan, PCG akan terus melabur dalam bahan kimia khas yang inovatif dan bernilai tinggi bagi melengkapkan pengembangan perniagaan terasnya.

"Strategi untuk mengekalkan kesinambungan masa hadapan syarikat ini akan lebih memperkuatkan daya tahan PCG," katanya.

Disiarkan pada: November 18, 2020 @ 9:46pm
d