bisnes

Aiskrim Pops Malaya kini mula dikenali ramai

Oleh Rosyahaida Abdullah

Kuala Lumpur: Kekangan modal permulaan yang mencukupi sering kali mengehadkan potensi sesuatu produk keluaran Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk dikembangkan dengan lebih baik.

Dengan kekurangan maklumat mengenai bidang diceburi, ada juga PKS mula berputus asa selepas berkali-kali diuji terutama membabitkan kewangan sehingga memutuskan untuk menghentikan perniagaan di tengah jalan.

Namun, bagi Rose Yasmin Abd Karim, pelbagai bantuan disediakan kerajaan buat PKS yang boleh dimanfaatkan baik untuk meningkatkan perniagaan sedia ada mahupun sokongan seawal ketika baru saja ingin mula berniaga.

Jelas Ketua Pegawai Eksekutif Doluvo Sdn Bhd itu, jika PKS menemui saluran tepat untuk mendapatkan sokongan bersesuaian bagi perniagaan mereka, hasrat untuk melihat produk PKS setanding malah lebih baik berbanding jenama luar bukan sesuatu yang mustahil.

Menurut Rose Yasmin, beliau sendiri menerima pelbagai bantuan antaranya daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sejak setahun lalu selepas cuba mendapatkan logo Buatan Malaysia bagi produk aiskrim beku di rumah jenama Pops Malaya keluarannya.

"Seperti kebanyakan PKS lain, saya juga memulakan Pops Malaya dengan modal yang sangat terhad dimana logo, pembungkusan, promosi dan sebagainya dilakukan seadanya mengikut kemampuan modal sendiri saja.

"Tetapi, amat melegakan apabila KPDNHEP terus membantu dalam pelbagai perkara termasuk mereka semula logo dan pembungkusan Pops Malaya sewaktu saya bertanyakan prosedur mendapatkan logo Buatan Malaysia bagi produk saya.

"KPDNHEP juga membantu menghasilkan video komersial untuk tujuan pemasaran yang saya kira sangat kreatif dan bertaraf antarabangsa kualitinya, terlalu jauh beza dengan idea saya sendiri," katanya.

Mengulas lanjut, Rose Yasmin berkata, antara sokongan yang turut disediakan KPDNHEP adalah peluang niaga di kompleks beli-belah terkemuka untuk tujuan penjenamaan dan jualan buat produknya.

"Keinginan untuk berniaga di kompleks beli-belah tentu ada, tetapi kita sedia maklum kadar sewanya yang mencecah beribu ringgit membantutkan hasrat PKS seperti saya.

"Tapi Alhamdulillah, di bawah program pembangunan perniagaan KPDNHEP yang terus mempromosikan barangan buatan Malaysia termasuk PKS, saya berpeluang merasai pengalaman berniaga di gerai antaranya di dalam Suria KLCC dan The Curve. Jualan Pops Malaya amat baik dan terus meningkat selepas itu," katanya.

Tambah Rose Yasmin, banyak lagi perkara lain berkaitan perniagaan dipelajarinya selepas menyertai pelbagai program pembangunan perniagaan anjuran KPDNHEP yang tidak pun ditemui dalam Internet.

Disiarkan pada: November 25, 2020 @ 12:33pm
d