bisnes

Cukai luar biasa sawit

Oleh Sri Ayu Kartika

Kuala Lumpur: Kerajaan dijangka bakal meraih hasil RM348 juta bagi industri sawit menerusi cukai luar jangka (windfall tax) tahun ini didorong peningkatan harga minyak mentah sawit dan permintaan komoditi itu daripada India.

Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, angka itu jauh lebih tinggi berbanding rekod tahun lalu iaitu hanya RM258,000.

Katanya, peningkatan ratusan kali ganda itu optimis dapat dicapai berikutan peningkatan import dari India serta peningkatan ketara harga komoditi terbabit yang kini mencecah lebih RM3,400 setan.

"Dengan harga komoditi ini yang dijangka terus mengukuh lebih RM3,000 setan sehingga tahun depan, justeru kutipan cukai ini mampu meningkat sehingga RM348 juta tahun ini.

"Malah, kami jangkakan jumlah itu meningkat sehingga RM500 juta bagi tahun depan," katanya pada sidang media di ibu pejabat MPOB di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

Ahmad Jazlan berkata, cukai luar jangka atau keuntungan luar biasa hanya dikenakan ke atas penanam sekiranya harga minyak sawit mentah (MSM) melepasi paras nilai ambang yang ditetapkan iaitu RM2,500 di Semenanjung Malaysia dan RM3,000 di Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, kutipan cukai itu tidak dilaksanakan jika harga MSM jatuh di bawah paras itu.

Beliau berkata, eksport minyak sawit Malaysia juga meningkat kepada 1.67 juta tan Oktober lalu berbanding 1.61 juta tan pada September lalu atau peningkatan sebanyak 3.8 peratus.

Menurutnya, peningkatan eksport minyak sawit pada Oktober lalu kesan daripada peningkatan permintaan dari India, Nigeria, Ghana, Iran, Pakistan dan Jepun.

"Bermula Jun lalu, eksport minyak sawit Malaysia ke India dalam tempoh Januari hingga Oktober lalu berjumlah 1.97 juta tan yang bernilai RM5.15 bilion.

"Diunjurkan, India terus mengimport MSM dari Malaysia tahun depan, langkah ini didorong oleh pengurangan duti kastam ke atas MSM oleh India daripada 37.5 kepada 27.5 peratus pada 27 November lalu yang menjadi faktor penaik kepada pengimport di India," katanya.

Disiarkan pada: December 1, 2020 @ 8:41am
d