bisnes

Rebat RM2,000 untuk Honda City baharu

Oleh Lizam Ridzuan

Kuala Lumpur: Honda Malaysia menawarkan rebat sehingga RM2,000 sempena Jualan Istimewa 12.12 City Serba Baharu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Toichi Ishiyama berkata kempen Joy of Buying ini membolehkan penggemar City mendapatkan model terbaharu generasi kelima itu pada harga istimewa.

"Sebagai menghargai sokongan semua, kami menawarkan tempahan model Honda City Serba Baharu daripada varian S dan E untuk rebat istimewa ini bermula hari ini sehingga 12 Disember nanti.

"Pendaftaran kenderaan boleh dilakukan bermula sekarang hingga 31 Disember 2020 dan mereka yang melengkapkan tempahan serta pendaftaran dalam tempoh ini layak menerima rebat istimewa berkenaan," katanya.

Katanya, selain itu pengguna juga dapat lebih manfaat selain rebat iaitu pengecualian cukai jualan sehingga hujung tahun ini menjadikan pembelian lebih berbaloi.

Untuk pasaran Malaysia Honda City Serba Baharu dijual pada harga RM74,191 (S), RM81,664 (E) dan RM86,561 (V) di mana semua harga atas jalan dengan pengecualian cukai jualan sehingga Disember 2020.

Honda City Serba Baharu menerima lebih 9,000 tempahan sejak dilancarkan Oktober lalu dan kedua-dua varian ini dijana dengan enjin 1.5L DOHC i-VTEC dan kotak gear CVT.

Ia dilengkapi ciri terbaharu dengan ruang dalaman lebih selesa termasuk corong pengahawa dingin untuk penumpang belakang dan sistem infotainmen bersaiz lapan inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto untuk varian E.

Elemen keselamatan terbaik seperti Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengagihan Brek Elektronik (EBD) Bantuan Brek (BA), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), Bantuan Mula Bukit (HSA), Isofix dan Peringatan Pemakaian Tali Pinggang Keledar belakang.

Disiarkan pada: December 1, 2020 @ 4:33pm
d