bisnes

Perodua catat rekod jualan tertinggi akhir November

Oleh Lizam Ridzuan

Kuala Lumpur: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mencipta rekod baharu apabila menjual 5,027 unit pada hari terakhir November, sekali gus menjadi angka jualan harian tertinggi yang pernah dicatatkan sepanjang penubuhannya.

Pencapaian jualan harian tertinggi berkenaan menyaksikan pengeluar kereta nasional itu meneruskan momentum jualan positif bulan lalu sebanyak 23,119 unit, sekali gus menghampiri sasaran jualan akhir tahunnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, jualan yang dicatatkan pada November adalah sedikit normal berbanding pencapaian dua bulan sebelumnya di mana pengeluar itu masing-masing menjual 25,035 dan 26,852 unit pada September dan Oktober.

"Namun, pencapaian ini mengagumkan di sebalik keadaan ekonomi yang mencabar dan prosedur operasi standard (SOP) norma baharu akibat Covid-19.

"Rekod seharian 5,027 unit membuktikan bahawa ketahanan, ketekunan dan kebolehan menyesuaikan diri mampu membuahkan hasil," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berdasarkan jualan 6,295 unit Myvi, 6,318 unit (Axia), 6,224 unit (Bezza), 2,617 unit (Aruz) dan 1,665 unit (Alza) pada November, jualan yang sudah dicatatkan Perodua setakat tahun ini mencecah 195,000 unit.

Zainal Abidin berkata, berdasarkan momentum jualannya, Perodua berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran akhir tahunnya, iaitu pendaftaran sebanyak 210,000 unit.

"Dua keutamaan Perodua pada masa ini adalah untuk memastikan seramai mungkin pelanggan kami dapat menerima kenderaan mereka sebelum akhir tahun bagi menikmati harga tanpa cukai jualan; serta untuk terus menyokong ekosistem automotif Malaysia dengan skala ekonomi kami pada masa yang sukar ini.

"Lebih 90 peratus daripada komponen kami diperoleh secara tempatan dan ditambah dengan jumlah jualan kami, ia menjana perniagaan yang signifikan bagi pembekal tempatan dan membantu mereka mengekalkan pekerjaan," katanya.

Disiarkan pada: December 2, 2020 @ 4:14pm
d