bisnes

'Kita rugi RM67b'

PANDEMIK Covid-19 memberi kesan ketara terhadap sektor runcit dan perkhidmatan luar talian yang menyebabkan jumlah pengurangan tenaga kerja dalam dua sektor berkenaan.

Ahli Ekonomi Kanan UOB Malaysia, Julia Goh berkata, walaupun ekonomi Malaysia kini bangkit semula dengan unjuran pemulihan 6.5 peratus hingga 7.5 peratus pada 2021, perjalanan itu dijangka tidak menentu dan bergantung pada peningkatan kes Covid-19.

"Banyak usaha perlu dilakukan kerana ekonomi sudah mengalami kerugian yang diunjurkan berjumlah sehingga RM67 bilion akibat kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Permintaan pengguna yang lemah dan kecairan yang ketat menyebabkan perniagaan menghentikan operasi sama ada secara kekal atau sementara.

"Difahamkan sektor makanan dan minuman (F&B) mengurangkan 35 peratus daripada tenaga kerja mereka ketika PKP pada Mac lalu," katanya.

Katanya, perbelanjaan penggunaan peribadi akan terus menjadi pendorong utama pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun depan yang dijangka merangkumi hingga 60 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.

"Oleh itu, sektor runcit dan perkhidmatan luar talian perlu mencari kaedah baharu untuk berkembang maju dalam persekitaran pasca pandemik untuk mengekalkan pekerja mereka.

"Antara cara yang tepat dengan mengintegrasikan strategi luar talian dan atas talian bagi mengatasi perubahan yang diwujudkan oleh norma baharu dan memanfaatkan potensi ekonomi digital yang semakin meningkat," katanya pada sidang media maya sempena pelancaran Jualan Ulang Tahun 12.12 Shopee di sini, semalam.

Justeru, Shopee Malaysia sempena meraikan ulang tahunnya ke-12 tahun ini, mengambil langkah turut sama membantu sektor berkenaan.

Ketua Pengurusan Peniaga Shopee Malaysia, Zed Li berkata, pihaknya menjalin kerjasama dengan jenama berasaskan kedai fizikal untuk menyertai platform dalam talian.

"Kerjasama ini akan menyaksikan Shopee menggunakan kelebihannya berinteraksi dengan pengguna atas talian secara serta-merta dan menggalakkan pembelian produk, tawaran set menarik dan baucar tunai.

"Sehingga kini, Shopee membawa masuk lebih 1,000 perniagaan yang secara tradisionalnya beroperasi melalui kedai atau lokasi fizikal termasuklah pusat membeli-belah, pawagam, kedai makanan dan minuman, stesen minyak dan salon kecantikan," katanya.

Sementara itu, Dari sekarang hingga 12 Disember nanti, pengguna dapat menikmati penghantaran percuma dengan perbelanjaan minimum RM12 serta tawaran RM1 pada Jualan Kilat Shocking Sale.

Shopee juga memperkenalkan rancangan permainan langsung baharu, Shopee Kotak Duit yang memberi ganjaran wang tunai hingga RM12,000 kepada pengguna.

Disiarkan di Shopee Live pada pukul 9 malam setiap Isnin hingga Khamis dengan sesi istimewa pada 11 dan 12 Disember, pengguna bertuah perlu menjawab satu soalan mudah sebelum diberi peluang untuk membuka satu daripada enam kotak yang disediakan.

Disiarkan pada: December 3, 2020 @ 7:02am
d