bisnes

Projek dalam fasa 'bersedia'

Oleh Mohd Zaky Zainuddin

PROJEK Transit Aliran Massa 3 (MRT3) di Lembah Klang yang dianggarkan bernilai RM20 bilion berkemungkinan dilaksanakan awal 2022 selepas beberapa proses kelulusan dan persetujuan dimuktamadkan kerajaan.

Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda Bhd, Datuk Lin Yun Ling berkata, walaupun proses pembinaan projek pengangkutan mega itu dalam fasa 'bersedia', namun kerajaan perlu melaksanakan beberapa perkara termasuk proses pengambilalihan tanah.

"Kerajaan perlu melalui beberapa tahap, merangkumi skim landasan untuk paparan umum dan mendapatkan kelulusan serta proses pengambilalihan tanah.

"Kami berpendapat kebarangkalian pelaksanaan pada tahun depan adalah kecil, sebaliknya mungkin dimulakan pada awal 2022.

"Kami masih menunggu maklumat lanjut daripada kerajaan. Saya berpandangan projek MRT3 dan satu lagi projek penting iaitu Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura akan diperjelaskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12)," katanya pada sidang media maya selepas mesyuarat agung tahunan ke-44 syarikat itu, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda, Mohammed Rashdan Yusof.

Projek MRT3 adalah kesinambungan projek infrastruktur mega yang dilaksanakan kerajaan iaitu MRT dan MRT2.

Projek yang menelan kos RM45 bilion sebelum dikurangkan sekurang-kurang separuh sebelum ini dirancang membabitkan jajaran sepanjang 40 kilometer.

Ia membabitkan aliran pusingan yang melalui kawasan seperti Jalan Duta, Setiawangsa, Pandan Indah, Salak Selatan, Bandar Malaysia dan Kerinchi.

Mengulas lanjut, Lin berkata, projek infrastruktur yang turut membabitkan MRT3 dilihat menjadi landasan penting dalam memacu daya saing negara dan pewujudan pekerjaan bagi mempergiatkan proses pemulihan ekonomi pasca-Covid-19.

Katanya, projek MRT3 yang dilihat akan membantu merangsang ekonomi Malaysia memerlukan strategi holistik memandangkan ia bakal menjadi pemangkin pelaburan infrastruktur produktif kepada negara.

"Kami perlu lihat rancangan jelas kerajaan mengenai projek MRT. Dalam pembentangan Belanjawan 2021 bulan lalu, perkara ini (MRT3) hanya dinyatakan secara umum sahaja.

"Kami memahami strategi tepat untuk masa ini adalah rangsangan fiskal terutama untuk keperluan pelaburan infrastruktur yang produktif," katanya.

Mei tahun lalu, MMC Corporation Bhd (MMC) bersama rakan kongsinya, Gamuda sudah menghantar cadangan alternatif kepada kerajaan bagi melaksanakan semula pembinaan MRT3 pada kos yang lebih rendah.

Menurut MMC-Gamuda, pelaksanaan projek MRT3 penting kerana ia adalah pelengkap kepada keseluruhan jajaran MRT dan akan menghubungkan dengan rangkaian sistem pengangkutan rel lain di Lembah Klang.

Ketika membentangkan Belanjawan 2021, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan, RM15 bilion diperuntukkan bagi membiayai dan meneruskan beberapa projek termasuk MRT3.

Sementara itu, Yun Ling berkata, Gamuda optimis untuk meraih kontrak bernilai RM10 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2021 dengan kebanyakannya disumbangkan projek di Pulau Pinang dan Australia.

Katanya, Gamuda kini dalam proses bidaan bagi projek infrastruktur di Australia dengan kerajaan negara itu memperuntukkan pelaburan keseluruhan A$100 bilion (RM301.8 bilion) terutama untuk projek berkaitan rel dan jalan raya.

"Kami disenarai pendek untuk tiga projek berkaitan jalan raya dan rel utama di Australia merangkumi Lebuhraya Peringkat 1 M6 dan dua pakej Sydney Metro bernilai A$2 bilion (RM6.03 bilion) setiap projek. Kami menyasarkan sekurang-kurang satu daripadanya dimenangi kami.

"Sejumlah RM5 bilion kontrak lagi daripada projek penambakan (di Pulau Pinang) yang berkemungkinan diumumkan akhir bulan ini.

"Projek penambakan pulau pertama adalah penting sebagai strategi merangsang ekonomi. Projek ini dijangka membawa masuk pelaburan asing langsung (FDI) RM200 bilion dan mewujudkan 300,000 pekerjaan baharu untuk tempoh 20 tahun akan datang," katanya.

Disiarkan pada: December 9, 2020 @ 7:00am
d