bisnes

MDEC perluas program pembangunan

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan terus memperluas program-program pembangunannya selain berhasrat membantu pekerja mendapatkan kemahiran bagi peralihan digital.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Surina Shukri berkata MDEC akan turut meneruskan inisiatif bagi membangunkan pekerja mahir digital untuk kebolehpasaran pekerjaan serta padanan kerja.

"Terdapat anjakan daripada pekerjaan tradisional yang memerlukan penerapan teknologi dengan agenda utamanya dari segi meningkatkan kemahiran dan latihan kemahiran semula.

"Kami amat menumpukan perkara itu dan mempunyai mandat bukan saja untuk melatih tetapi membantu mereka ditempatkan dalam kira-kira 15,000 pekerjaan baharu pada tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual program The Nation Bernama TV yang bertajuk 'MDEC: Budget 2021' di sini, hari ini.

Menurut Surina, ada di antara pekerjaan itu memerlukan pemahaman mengenai perisian komputer terbaharu dan aspek itu turut diberi perhatian oleh MDEC.

MDEC menerima peruntukan bernilai RM100 juta menerusi Belanjawan 2021 bagi mempermudah peralihan tenaga kerja sedia ada agar dapat memenuhi keperluan industri teknologi maklumat dan komunikasi.

Beliau berkata, agensi itu akan terus bekerjasama erat dengan kementerian-kementerian dan rakan strategik bagi menyokong program-program siswazah teknologi digital di pusat-pusat berstatus Institusi Teknologi Digital Perdana dan institusi kemahiran lain.

Bidang tumpuan lain pula adalah e-dagang dan MDEC akan terus menggalakkan penyertaan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) ke dalam digital menerusi kerjasama dengan rakan seperti syarikat-syarikat bank dan telekomunikasi, kata Surina.

Menurut Surina, MDEC juga akan meninjau peluang pelaburan dan selain terus mengalakkan pembangunan pusat-pusat data.

Pada masa sama, beliau menekankan kepentingan meningkatkan aspek pelaksanaan pada 2021 bagi memacu kesiapsiagaan digital Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

"Kami (MDEC) turut mencabar diri sendiri – bagaimana MDEC dapat mencipta semula diri, terus melangkaui sempadan dan lebih inovatif serta dapat melaksanakan lebih banyak perkara," katanya.

Mengulas RISE – antara persidangan teknologi terbesar Asia di Kuala Lumpur pada Mac 2022, Surina menyifatkannya sebagai salah satu pengiktirafan terhadap kerjasama hebat antara agensi-agensi kerajaan dan industri untuk membawa acara tersebut ke Malaysia.

Malah, ini juga membuktikan kedudukan Malaysia sebagai peneraju ekonomi digital di rantau ini.

"Kuala Lumpur adalah tempatnya...terlalu banyak yang ditawarkan di sini dengan ekosistem teknologi yang semakin berkembang. Kami sendiri amat teruja mengenai persidangan itu.

"Sudah pasti ini akan mewujudkan aspek kebolehlihatan kerana ini merupakan satu persidangan besar dan akan disertai ramai pengunjung, pelabur dan pemaju selain aspek impak ekonomi. Apabila ramai berkumpul dan saling bertukar pendapat, ini akan menjurus kepada pelaburan serta peluang pekerjaan," katanya.

Surina berkata, MDEC juga aktif menggalakkan pelaksanaan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dengan mempromosi penggunaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan, internet pelbagai benda dan analisis data raya dalam semua industri untuk mengubah negara kepada sebuah ekonomi digital serba inovatif.

RISE adalah acara teknologi berprofil tinggi yang menghimpunkan barisan pengasas teknologi dunia, pelabur, syarikat permulaan serta multinasional dengan penyertaan lebih 16,000 orang dari 100 negara di serata dunia.

Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia akan bekerjasama dengan MDEC dan Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) untuk membawa RISE ke Malaysia bagi penggal tiga tahun dari 2022 hingga 2024.

Disiarkan pada: December 9, 2020 @ 6:13pm
d