bisnes

Pesanan tiba dalam 20 minit

Oleh Rosyahaida Abdullah

Kuala Lumpur: PENERAJU platform penghantaran makanan dalam talian, foodpanda menyasar perkhidmatan penghantaran barangan runcit miliknya, pandamart tersedia di lebih banyak lokasi sekurang-kurangnya di setiap negeri di seluruh Malaysia pada tahun depan.

Pengarah Dark Stores foodpanda Malaysia, Ashutosh Gandhi berkata, sejak memulakan operasi Julai lalu, pandamart kini sudah berada di 25 lokasi di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.

Menurutnya, beberapa lagi lokasi juga dijangka menerima liputan pandamart selewat-lewatnya pada 31 Disember ini termasuk di Ipoh (Perak), Seremban (Negeri Sembilan) dan Melaka.

"Seperti mana perkhidmatan penghantaran makanan foodpanda, pandamart juga diperkenalkan dengan matlamat memudahkan pengguna mendapatkan barangan runcit pada kadar segera.

"Menerusi penghantaran terus dari gudang kami sendiri yang bersedia dengan lebih 3,500 jenis produk, kami meletakkan komitmen sepantas 20 minit untuk setiap pesanan sampai di depan pintu rumah pelanggan.

"Ini tentu mampu direalisasikan berdasarkan jarak liputan yang sudah ditetapkan untuk pembelian daripada pandamart dalam aplikasi foodpanda dan pembukaan lebih banyak gudang akan memperluaskan lagi liputan pandamart untuk kemudahan pengguna di seluruh Malaysia," katanya.

Ashutosh berkata, lebih 3,500 daripada 100 jenama tempatan dan antarabangsa tersedia merangkumi pelbagai kategori barangan asas termasuk keperluan rumah, produk kecantikan, barang segar serta ubat-ubatan.

Katanya, pihaknya tidak bercadang untuk memperluaskan kategori produk yang ditawarkan melangkaui barangan asas namun lebih memberi tumpuan kepada menambah variasi barangan asas sedia ada.

"Sasaran kami juga adalah untuk memastikan perkhidmatan pandamart tersedia 24 jam sehari namun buat masa sekarang, waktu operasi tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di setiap kawasan liputan pandamart," katanya.

Menurutnya, pihaknya mengutamakan harga yang kompetitif seiring kualiti produk di mana kesemua produk dibekalkan terus dari pengilang.

Disebabkan itu, harga barang yang disediakan sentiasa dikawal bagi memastikan ia berpatutan dengan tidak berkompromi terhadap kualiti setiap produk yang dijual.

"Walaupun kini penghantaran percuma tersedia dalam tempoh empat bulan pertama pembukaan pandamart baharu, ia bukan bermakna kami berkompromi dengan kualiti dan harga setiap barang.

"Sebaliknya, harga yang ditetapkan adalah kompetitif jika dibandingkan dengan kebanyakan pasar raya dan pelanggan juga boleh melakukan pemulangan bagi barangan yang didapati rosak.

"Selepas tempoh promosi penghantaran percuma tamat, caj penghantaran pandamart akan dikenakan antara RM1 hingga RM2 saja malah bayaran untuk rakan penghantar kami juga masih sama seperti kadar yang diterima mereka untuk penghantaran makanan," katanya.

Pandamart tersedia di aplikasi foodpanda dibawah halaman foodpanda shops sekiranya lokasi pelanggan menunjukkan bahawa mereka berada dalam liputan pandamart.

Disiarkan pada: December 11, 2020 @ 7:00am
d