bisnes

Segmen automottif UMW dijangka capai sasaran jualan

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Berikutan penjualan memberangsangkan UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat bersekutu, Perodua pada November 2020, segmen Automotif UMW Holdings Berhad dijangka dapat mencapai sasaran jualan bagi 2020.

Segmen automotif kumpulan UMW kembali pulih dengan stabil daripada penjualan yang merosot awal tahun ini kesan dari langkah yang diambil untuk membendung penularan Covid-19 .

Ia disokong peningkatan permintaan yang didorong oleh insentif pengecualian cukai penjualan berkuat kuasa 15 Jun hingga 31 Disember 2020.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UMW Holdings Berhad, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, kumpulan UMW akan terus mengekalkan momentum penjualan yang memberangsangkan.

Katanya, ia didorong hasil daripada pengecualian cukai penjualan yang dilaksanakan kerajaan untuk meningkatkan industri automotif tempatan berikutan gangguan yang disebabkan oleh Covid-19.

"Dengan penjualan memberangsangkan yang dicapai oleh UMWT dan Perodua sehingga hari ini, kami yakin bahawa momentum penjualan akan berterusan sehingga bulan Disember dan kami pasti mencapai sasaran penjualan untuk tahun ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dengan mencatatkan penjualan sebanyak 6,267 unit pada November lalu, UMWT mendaftarkan penjualan sebanyak 50,074 unit untuk 11 bulan pertama 2020 dan dijangkakan dapat mencapai sasaran jualan sebanyak 53,000 unit untuk tahun ini.

Toyota Vios, Yaris dan Hilux kekal sebagai model terlaris UMWT sehingga hari ini.

Vios dan Yaris yang baru dikemaskini kini dilengkapi dengan Toyota Safety Sense, untuk terus memegang rekod dari segi keselamatan, kebolehpercayaan, lebih praktikal dan harga yang berpatutan.

Selain itu, Perodua terus kekal maju ke arah sasaran jualan akhir tahun ini dengan mencatatkan penjualan sebanyak 23,119 unit pada November 2020, termasuk dengan jumlah penjualan harian yang mengagumkan iaitu sebanyak 5,027 unit pada hari terakhir bulan terbabit.

"Bagi 11 bulan pertama tahun ini, Perodua sudah menjual 194,983 unit, 93 peratus daripada sasaran jualan sebanyak 210,000 unit pada tahun ini.

"Myvi terus kekal sebagai model terlaris, diikuti Axia dan Bezza.

"Perodua akan memberi keutamaan kepada pesanan yang tertunggak menjelang akhir tahun bagi membolehkan pelanggannya menikmati harga bebas cukai penjualan di samping meningkatkan ekosistem automotif Malaysia dengan skala ekonominya dan lebih dari 90 peratus komponen Perodua adalah komponen tempatan," katanya.

Disiarkan pada: December 11, 2020 @ 5:19pm
d