bisnes

Tarikan e-hailing

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Bilangan pekerja dalam sektor ekonomi gig meningkat tahun ini terutam dalam perkhidmatan e-hailing dan penghantaran susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Cabaran ekonomi yang belum pernah terjadi sebelum ini yang disebabkan pandemik itu juga menyaksikan permintaan terhadap pekerjaan e-hailing melonjak tinggi apabila ramai yang kehilangan pekerjaan ekoran pelaksanaan PKP.

Pembukaan semula aktiviti ekonomi dan sokongan berterusan daripada kerajaan membantu sektor gig yang terjejas akibat Covid-19 menongkah arus kegawatan ekonomi semasa dan bertahan daripada kesan pandemik itu.

Perangkaan mereka yang terbabit dalam perkhidmatan e-hailing dan penghantaran dijangka lebih tinggi tahun ini apabila sektor perkhidmatan gig menawarkan peluang kepada lebih ramai pekerja yang diberhentikan kerja dan mereka yang gajinya dipotong.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, tahun lalu, seramai 466,600 pekerja terbabit dalam sektor gig berbanding 559,900 pada 2018.

Sektor e-hailing mencatatkan penguncupan hasil sebanyak 16 peratus dan 68.8 peratus masing-masing pada suku pertama dan suku kedua berikutan PKP serta Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negara bermula 18 Mac hingga 9 Jun lalu.

Bagaimanapun, sektor itu bangkit kembali dengan mencatatkan pertumbuhan hasil yang kukuh sebanyak 237.8 peratus pada suku ketiga apabila aktiviti ekonomi dibuka semula bermula 10 Jun.

Sementara itu, jumlah syarikat e-hailing yang beroperasi di negara ini, turun 25 peratus kepada 33 lesen pada November 2020 daripada 44 lesen dicatatkan pada bulan sama tahun lalu.

Grab yang memiliki 100,000 rakan-pemandu, menerajui rangkaian itu di Malaysia diikuti MyCar (10,000 rakan-pemandu).

Sementara itu, perkhidmatan penghantaran mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak 7.3 peratus dan 14.5 peratus masing-masing pada suku pertama serta suku kedua, apabila permintaan melonjak disebabkan pergerakan terhad ketika PKP dan PKPB.

Perkhidmatan penghantaran makanan merekodkan pertumbuhan hasil yang sederhana sebanyak 1.9 peratus pada suku ketiga berikutan pembukaan semula restoran dan kebenaran untuk makan di premis kedai.

Pelan Jana Semula Ekonomi Negara diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun lalu memperuntukkan RM75 juta untuk menggalakkan ekonomi gig dan menyediakan jaringan keselamatan sosial bagi pekerja dalam sektor ekonomi tidak formal.

Daripada jumlah itu, RM50 juta dalam bentuk geran padanan diperuntukkan kepada platform ekonomi gig yang mencarum bagi pekerja gig mereka kepada skim bencana kecederaan pekerjaan Pertubuhan

Keselamatan Sosial (Perkeso) dan skim i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sementara itu, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan diperuntukkan dengan baki RM25 juta bagi program Tenaga Kerja Dalam Talian Global untuk menggalakkan pekerjaan sendiri secara bebas.

Menurut MDEC, 28,425 pekerja ekonomi gig mendaftar dengan Perkeso sejak 1 Januari, mewakili tujuh peratus daripada 400,000 pekerja terbabit dalam ekonomi gig.

Kerajaan juga mengumumkan tambahan RM5.3 bilion bagi lanjutan Program Subsidi Upah. Program ini merangkumi subsidi upah, program meningkatkan kemahiran sedia ada dan mempelajari kemahiran lain, bantuan pengambilan pekerja serta latihan serta perlindungan sosial ekonomi gig.

Disiarkan pada: December 15, 2020 @ 8:02am
d