bisnes

Teroka pasaran China

Oleh BERNAMA

Petaling Jaya: MY JET Xpress Airlines berhasrat untuk mengembangkan perkhidmatan kargonya ke beberapa wilayah di China seperti Shenzhen pada suku pertama tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Azrul Hisham Abdul Wahab berkata, adalah tepat pada masanya bagi syarikat penerbangan itu menceburi pasaran China memandangkan permintaan terhadap perkhidmatan kargo dilihat sangat menggalakkan ketika penularan pandemik Covid-19.

Selain itu, syarikat penerbangan kargo itu juga akan menambah kekerapan dengan pesawat baharunya, 9M-NEW.

"Mulai minggu depan dan seterusnya, kami juga akan menambah kekerapan dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak untuk operasi ekspres di samping mengendalikan perkhidmatan biasa ke Singapura, Indonesia serta Vietnam," katanya selepas menghadiri Majlis Penghargaan kepada Petugas Barisan Hadapan dan Perasmian Penerbangan (9M-NEW).

Menurut Azrul Hisham lagi, pesawat baharu keempat itu dirancang memulakan operasi pada suku kedua 2021 namun dipercepatkan ke tahun ini berikutan permintaan pasaran yang sangat menggalakkan.

"Kita akan menambah satu lagi kekerapan pada jam 5 petang dan 6 petang dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu serta Kuching masing-masing kepada seawal jam 11 pagi setiap hari ke kedua-dua tempat," katanya.

Beliau berkata, My JET juga bercadang untuk meneroka segmen lain dalam industri penerbangan iaitu sektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

"Kami juga sedang meneliti projek pengangkutan vaksin memandangkan kami mempunyai infrastruktur mencukupi dan peralatan yang relevan bagi operasi seperti itu, tetapi terlalu awal untuk kita meramalkan, kerana kita masih belum mendapat vaksin di Malaysia," katanya.

Disiarkan pada: December 15, 2020 @ 8:11am
d