bisnes

Momentum pemulihan diteruskan

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Perubahan penarafan kredit Malaysia daripada A- kepada BBB+ oleh Fitch Ratings tidak akan membantutkan usaha Malaysia menuju ke arah pemulihan ekonomi pada 2021, kata Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

"Inisiatif Belanjawan 2021 akan meneruskan momentum pemulihan dan dijangka menyumbang kepada sasaran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) antara 6.5 peratus hingga 7.5 peratus pada tahun hadapan.

"Ramai yang sering mengatakan unjuran ini terlalu optimistik. Namun, Fitch sendiri mengunjurkan pertumbuhan pada kadar 6.7 peratus iaitu sejajar dengan unjuran Malaysia sendiri.

"Institusi lain seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pula mengunjurkan pertumbuhan sehingga 7.8 peratus, iaitu lebih tinggi daripada unjuran kerajaan. Ini secara amnya menunjukkan keyakinan terhadap kebolehan ekonomi Malaysia untuk melonjak kembali," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai langkah menangani keputusan mengejut Fitch Ratings menyemak turun penarafan kredit Malaysia.

Malah, Tengku Zafrul berkata sejak pengumuman itu, tiada reaksi spontan daripada pasaran.

Dalam hal ini, beliau berkata, FBM KLCI dan mata wang Ringgit kekal stabil dan kita merekodkan permintaan yang tinggi (nisbah bidaan kepada terbitan) iaitu 2.6 kali melebihi nilai tawaran untuk bon kerajaan MGII 10-tahun yang diterbitkan minggu lalu.

"Semalam, saya mengumumkan lapan pengurus dana modal teroka dari Amerika Syarikat, Korea, China, Indonesia dan Singapura bersetuju melabur dalam syarikat pemula niaga Malaysia dengan nilai pelaburan hingga RM1.57 bilion.

"Dalam kata mudahnya, keyakinan pelabur terhadap pasaran modal negara jangka panjang masih kukuh," kata Tengku Zafrul.

Berhubung isu amalan tadbir urus terbaik, Tengku Zafrul berkata, sebarang pelantikan ahli lembaga pengarah termasuk ahli politik, dibuat berdasarkan kesesuaian dari segi kelayakan, pengalaman dan kepakaran.

Ia juga mengambil kira polisi keterangkuman dan kepelbagaian di bawah Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia 2017.

"Selain itu, berdasarkan status syarikat, lantikan politik perlu melalui pelbagai saringan seperti oleh Bursa Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan lain-lain.

"Saya ingin menegaskan kerajaan komited memastikan amalan tadbir urus terbaik sentiasa dipegang," kata Tengku Zafrul.

Beliau berkata, ekonomi pulih semula, usaha memperkukuhkan ekonomi negara akan diteruskan.

"Kerajaan komited untuk melaksanakan langkah konsolidasi dan kemampanan fiskal berpandukan kepada Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana serta penggubalan satu Akta Tanggungjawab Fiskal yang bertujuan menambah baik pengurusan dan pelaporan fiskal, seterusnya menambah baik aspek transparensi dan 'tadbir urus yang baik'.

"Ini termasuk menurunkan tahap keberhutangan negara atau defisit fiskal yang ditanggung dan diwarisi oleh kerajaan sekarang," katanya.

Disiarkan pada: December 16, 2020 @ 7:01am
d