bisnes

Edar vaksin Covid-19 dalam bentuk tablet

Oleh Bisnes hmetro

Kuala Lumpur: Widad Group Berhad (Widad Group) menandatangani memorandum kerjasama (MoC) dengan Rinani Dynamic Sdn Bhd (Rinani) untuk mengedarkan vaksin Covid-19 dalam bentuk tablet.

Vaksin berkenaan dibangunkan Vaxart Inc (Vaxart) berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dan Rinani adalah wakil Vaxart di Malaysia.

Ketika ini vaksin itu dikenali dengan nama VXA-Cov2-1 masih dalam ujian klinikal fasa dua.

VXA-CoV2-1 adalah vaksin Covid-19 dalam bentuk tablet dan hanya diberikan satu dos serta dipercayai lebih mudah diuruskan kerana tidak memerlukan rangkaian penyimpanan dan pengedaran sejuk.

Pengarah Urusan Widad Group, Datuk Mohd Rizal Mohd Jaafar berkata, pihaknya yakin untuk menyokong usaha Rinani dalam mengetengahkan vaksin Vaxart di Malaysia bagi memastikan negara mendapat akses kepada vaksin yang praktikal untuk program imunisasi besar-besaran.

"Dua kelebihan terbesar vaksin Vaxart adalah reka bentuk untuk mencetuskan imuniti mukosa yang berfungsi sebagai barisan pertahanan pertama terhadap virus yang boleh tersebar di udara seperti Covid-19, memberikan perlindungan menyeluruh dari jangkitan.

"Kedua, ia dihasilkan dalam bentuk tablet, menjadikannya vaksin mesra pengguna, mewujudkan pengalaman tanpa rasa sakit yang saya yakin lebih ramai pengguna akan memilih cara ini," katanya.

Katanya, Rinani pada 29 November lalu dilantik oleh Majoriti Global Limited yang berpangkalan di Hong Kong sebagai rakan eksklusifnya di Malaysia bagi membentangkan, berbincang dan berunding dengan pihak berkuasa dan pihak berkaitan berkenaan terma dan syarat bagi ujian, penilaian, lokasi pasaran, kontrak, pembiayaan dan pembelian vaksin dan produk lain di Malaysia.

"Walaupun Widad mungkin tidak mempunyai pengalaman sebelum ini untuk melaksanakan pengagihan vaksin, Widad akan mengupah pegawai penting yang berpengalaman luas bagi mengurangkan risiko dalam masa terdekat," katanya.

Menurutnya, MoC akan berkuatkuasa untuk tempoh setahun selepas pelaksanaan oleh kedua-dua pihak dan mungkin boleh dilanjutkan.

Disiarkan pada: December 16, 2020 @ 7:10am
d