bisnes

Teknologi 5G di Gamuda Cove

Kuala Lumpur: Syarikat pemaju hartanah Gamuda Land Sdn Bhd merancang menyepadukan ketersambungan teknologi 5G di kawasan penempatan Gamuda Cove dengan peranti pintar serta pengalaman kecerdasan buatan, menerusi kerjasama dengan penyedia penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), Huawei Malaysia.

Menurut kenyataan Gamuda Land, kalangan penduduk dan pengunjung kawasan berkenaan akan menikmati ketersambungan lebih baik dalam perbandaran seluas 600 hektar di selatan Lembah Klang yang disasarkan sebagai bandar pintar serta kawasan perlindungan alam semula jadi.

"Gamuda Land sudah memasukkan aspek ketersambungan maya ini dalam perancangan awal pelan induk Gamuda Cove yang turut disokong oleh pengalaman selama 25 tahun dalam usaha pembangunan bandar," katanya.

Bersandarkan teknologi yang tepat, syarikat itu berkata, penduduk kawasan berkenaan akan menikmati ketersambungan hebat dalam bandar pintar itu yang dilengkapi dengan prasarana sesuai untuk kegunaan bagi tahun-tahun akan datang.

Sementara itu, dalam kenyataan bersama itu, Huawei Malaysia berkongsi keterujaan mengenai kerjasama berkenaan yang disifatkannya sebagai sejajar dengan usaha memacu inovasi.

"Apabila Gamuda Land menunjukkan konsep dan pelan induk perbandaran yang turut menyepadukan aspek ketersambungan 5G, kami sedar ini sejajar hasrat untuk memacu inovasi dan terus bersetuju dengan kerjasama ini," katanya.

Gamuda Cove yang terletak di tepi Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan berhampiran dengan Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2, bermatlamat untuk muncul sebagai perbandaran holistik dengan komponen kediaman, komersial, kesejahteraan, hiburan dan pendidikan.

Apabila siap kelak, ia akan mempunyai lebih 20,000 unit kediaman.

Pada Julai tahun ini, Gamuda Land dan Maxis menjalin kerjasama strategik yang menyaksikan pelantikan syarikat penyedia penyelesaian itu mewujudkan prasarana 5G di kawasan itu.

Disiarkan pada: December 21, 2020 @ 7:01am
d