bisnes

SPV keluar getah nitril

PEMAJU hartanah Jiankun International Bhd menceburkan diri dalam pengeluaran getah nitril seiring peningkatan industri sarung tangan getah menerusi kerjasamanya dengan Chuanplus Industries Sdn Bhd.

Rakan kongsi itu akan menubuhkan sebuah syarikat tujuan khas (SPV) untuk membina kilang pengeluaran di Klang, Selangor dengan pelaburan berjumlah RM120 juta.

Daripada jumlah itu, RM50 juta akan digunakan bagi pembelian mesin, pemasangan dan peralatan manakala RM70 juta digunakan bagi kos pengambilalihan tanah.

Jiankun yang akan memegang 80 peratus saham dalam SPV itu akan bertanggungjawab untuk mengumpul dana manakala Chuanplus akan menyediakan kepakaran pengeluaran.

Menurut Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang dilantik sebagai Pengerusi Jiankun, pembabitan itu diharapkan dapat meningkatkan pendapatan Jiankun.

"Saya harap (usaha) ini akan memacu aktiviti ekonomi untuk kepentingan kedua-dua pihak," kata bekas peguam negara itu ketika majlis menandatangani perkongsian itu, baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Chuanplus, Chuan Tuck Soon berkata, usaha sama itu menjadikan mereka sebagai pengeluar getah nitril ketiga di negara ini.

Pada masa ini, hanya satu syarikat tempatan yang mula mengeluarkan getah nitril, menyumbang 30 peratus bekalan di Malaysia, manakala 70 peratus lagi bersumber dari luar negara.

Disiarkan pada: December 25, 2020 @ 7:30am
d