bisnes

UEM Sunrise jual 72 plot industri pegangan bebas kepada AME

UEM Sunrise Bhd (UEM Sunrise) memeterai perjanjian dengan AME Elite Consortium Bhd (AME) bagi penjualan 72 plot perindustrian pegangan bebas berkeluasan 63.7 hektar di Iskandar Puteri, Johor.

Plot perindustrian yang terletak dalam fasa ketiga Perindustrian dan Logistik Selatan (SiLC) itu dijual pada harga RM434.3 juta dan membolehkan AME membangunkan taman perindustrian bersepadu di lokasi berkenaan.

UEM Sunrise memeterai perjanjian itu dengan anak syarikat AME, Pentagon Land Sdn Bhd dan Greenhill SILC Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Penyampaian Prestasi dan Komersial UEM Sunrise, Anuar Kasim berkata, penjualan itu menjadi titik permulaan kerjasama strategik antara pihaknya, yang juga pemilik tanah dan pemaju utama Iskandar Puteri dengan AME, syarikat pembinaan perindustrian.

"Kami yakin kerjasama ini menjadi pemangkin untuk Pelan Induk Pembangunan Iskandar Puteri, terutama dalam mempercepat pertumbuhan dan pengembangan SiLC.

"Ini memberi impak positif kepada bandar Iskandar Puteri yang berkembang pesat serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat sekitar.

"Kerjasama ini juga mencipta peluang perniagaan dan pekerjaan baharu di negeri ini. Selain itu, ia membantu mempromosikan persekitaran ekonomi kondusif dalam memacu permintaan untuk produk hartatanah UEM Sunrise di Selatan Semenanjung," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, penjualan itu dijangka menyumbang kepada pendapatan UEM Sunrise untuk tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

Katanya, hasil pendapatan digunakan untuk langkah strategik kumpulan seperti pemilikan simpanan tanah baharu.

"Selepas berdepan cabaran disebabkan pandemik Covid-19 tahun ini, langkah penjualan ini antara kejayaan utama kumpulan.

"Ia memberi pertumbuhan positif serta manfaat jangka panjang untuk UEM Sunrise dan AME," katanya.

Disiarkan pada: December 31, 2020 @ 7:00am
d