bisnes

Medac terus beri tumpuan perkasa PKS

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) terus memberi tumpuan bagi meningkatkan proses dan sistem penyampaian dalam usaha menambahbaik serta memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam berdepan norma baharu di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, biarpun gembira dengan prestasi keseluruhan Medac dan agensinya sepanjang 2020, katanya masih ada ruang penambahbaikan, terutama dalam mempermudah dan mengurangkan proses permohonan.

"Ketika saya dilantik sebagai menteri Medac pada awal 2020, agenda utama saya untuk mempermudah proses dan mengurangkan masalah birokrasi. Itu sebabnya ini berlaku dan kementerian dapat melunaskan 99.3 peratus daripada peruntukan belanjawan 2020.

"Ini pencapaian membanggakan bagi Medac dan agensi di bawahnya dan bagi 2021, Medac terus memberi tumpuan memperbaiki sistem dan proses penyampaian sehingga semua jenis bantuan, kemudahan dan insentif dapat disalurkan dengan lebih berkesan kepada usahawan.

"Untuk tujuan ini, saya harap pasukan di Medac dan agensi kami memberi komitmen penuh mereka dalam membantu usahawan," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, semua pihak harus bersedia membuat perubahan sesuai berdasarkan keadaan dan keperluan ketika ini.

Beliau berkata, 2020 harus menjadi masa untuk semua memikirkan semula strategi dan usahawan perlu bersiap sedia keluar daripada zon selesa selain menyesuaikan diri dengan perniagaan baharu.

"Medac dan agensinya ada pelbagai insentif, program, bantuan dan kemudahan yang boleh dimanfaatkan oleh usahawan dalam usaha untuk membiasakan diri dengan norma baharu pasca-Covid-19.

"Ini termasuk program latihan bagi melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran keusahawanan dan juga program untuk membantu usahawan mendigitalkan operasi perniagaan mereka.

"Sebagai seorang usahawan, mereka harus inovatif dan dinamik serta cepat menyesuaikan diri dengan keadaan semasa dan lebih berani untuk merebut peluang baru perniagaan," katanya.

Disiarkan pada: January 1, 2021 @ 7:00am
d