bisnes

KPJ raih Anugerah Emas dalam Kecemerlangan

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

KPJ Healthcare (KPJ) meraih Anugerah Emas dalam Kecemerlangan (bagi syarikat permodalan pasaran bernilai RM2 bilion hingga RM10 bilion) untuk tahun ini.

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ, Ahmad Shahizam Mohd Shariff berkata, organisasi itu berusaha untuk memenuhi kewajipan dalam memastikan semua peraturan sentiasa dipenuhi.

"Kami sangat teliti dalam melaporkan maklumat korporat dan penyata kewangan kami, memenuhi standard perakaunan dan syarat pendedahan yang diluluskan.

"Sebagai tambahan, kami memberikan perincian jelas dan telus dalam laporan tahunan kami mengenai Laporan Tadbir Urus Korporat dan Kelestarian KPJ," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, selain memenangi Anugerah Laporan Korporat Tahunan Nasional (NACRA) 2020 itu, KPJ akan terus melindungi semua pihak yang memiliki kepentingan terhadap syarikat melalui tatacara perniagaan yang beretika.

"Kami mempercayai amalan perniagaan yang adil dan saksama dan semua dasar urus niaga kami didokumentasikan dan direkodkan dengan jelas.

"Inilah prinsip utama di mana KPJ menjalankan perniagaannya, tanpa rasa takut atau pilih kasih," katanya.

Sebelum memenangi Emas untuk Laporan Tahunan Bersepadu 2019, KPJ turut memenangi Anugerah Merit NACRA untuk Laporan Tahunan 2015 dan 2017.

KPJ mempunyai 28 hospital di seluruh Malaysia serta dua hospital di Indonesia, masing-masing satu di Bangladesh dan Thailand.

Dengan lebih 1,100 pakar perubatan, KPJ menerima lebih daripada 2.9 juta pesakit setiap tahun.

Pada 2018, 2 Hospital KPJ menjadi hospital pertama di seluruh rantau Asia Pasifik yang mendapat Sijil Kecemerlangan Tahap Emas dalam Perawatan Berpusatkan Orang oleh Planetree.

Disiarkan pada: January 2, 2021 @ 9:45am
d