bisnes

Digi perkenal web mesra OKU penglihatan

DIGI Telecommunications Sdn Bhd (Digi) memperkenalkan laman web dan aplikasi yang dipertingkat bagi memudahkan pengguna dari kalangan komuniti orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

Ia turut memperkenalkan Inclusive Digital Touchpoints Playbook bagi memberi ruang kepada syarikat lain untuk mengikut jejak langkah sama.

Peningkatan akses ke titik sentuh digital syarikat dipandu oleh standard antarabangsa dalam menangani empat cabaran yang berkaitan dengan masalah penglihatan, iaitu buta, penglihatan rendah, rabun warna dan disleksia.

Penambahbaikan itu disatukan dalam reka bentuk, fungsi, kandungan dan platform teknologi dan aplikasi web Digi terkini untuk memastikan keserasian dengan aplikasi digital yang biasa digunakan OKU seperti pembaca skrin, jurubahasa audio dan video.

Ketua Kemapanan Digi, Philip Ling dalam kenyataan berkata, dunia kini bergantung dengan internet dan ia semakin ketara ketika pandemik ini.

"Kita juga dapat melihat perbezaan antara mereka yang tidak mempunyai akses mudah ke pengalaman dalam talian.

"Kami percaya bahawa penyertaan adalah hak asasi manusia dan oleh itu mengambil tindakan untuk mengurangkan halangan akses ke titik sentuh digital kami," katanya.

Disiarkan pada: January 4, 2021 @ 7:49am
d