bisnes

MEDEC bakal lancar TransKom 2021-2025 [METROTV]

Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDEC) akan melancarkan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia 2021-2025 (TransKom) dalam masa terdekat.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pelancaran TransKom itu sepatutnya diadakan Disember tahun lalu, namun disebabkan peningkatan kes Covid-19 ia terpaksa ditunda dan akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Katanya, TransKom itu akan memfokuskan kepada usaha mentransformasi atau menyuntik tenaga baharu kepada Gerakan Koperasi sebagai pemangkin kepada pertumbuhan sosio-ekonomi negara yang inklusif, seimbang, progresif dan mampan.

"Proses transformasi ini membabitkan pembangunan asas yang kukuh dan berstruktur dalam gerakan koperasi bagi membina momentum untuk memacu pertumbuhan dan peningkatan prestasi yang cemerlang," katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat kementeriannya sempena 2021 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Turut hadir,Timbalannya, Mas Ermieyati Samsudin dan Ketua Setiausaha MEDEC, Datuk Suriani Ahmad.

TransKom adalah perancangan jangka masa lima tahun MEDEC itu menggariskan matlamat dan langkah strategik yang komprehensif bagi memastikan Gerakan Koperasi dapat memberi manfaat lebih besar dan menyeluruh kepada kesejahteraan anggota ahli, masyarakat serta memastikan koperasi lebih berdaya saing,lestari serta mampan.

Dengan keahlian melebihi 6 juta, sektor koperasi adalah platform terbaik untuk meningkatkan tahap pendapatan dan sosio-ekonomi masyarakat.

Wan Junaidi berkata, sektor koperasi perlu berubah daripada model perniagaan lapuk kepada model baharu dengan menukar mentaliti konvensional kepada yang lebih progresif dan inovatif.

Katanya, TransKom juga menyasarkan transformasi Institut Koperasi Malaysia (IKM) sebagai Institusi Pendidikan Tinggi yang mengkhususkan kepada pendidikan koperasi dan keusahawanan.

Dalam perkembangan lain, Wan Junaidi berkata MEDEC turut merangka lima hala tuju baharu sepanjang 2021 bertujuan memastikan bidang keusahawanan kekal sebagai penyumbang utama dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Katanya, halatuju baharu itu bakal menzahirkan usahawan yang lebih cekal, proaktif, kompetitif serta berupaya menampan situasi di luar jangkaan pada masa hadapan.

"Lima halatuju itu terdiri daripada Enculture, Enable, Empover, Energise dan Engage," katanya.

Disiarkan pada: January 4, 2021 @ 2:38pm
d