bisnes

Rangkaian 3G dijangka ditamat akhir tahun

KALANGAN syarikat telekomunikasi (telco) dijangka melaksanakan usaha menamatkan semua rangkaian 3G secara berperingkat menjelang akhir tahun ini seiring dengan inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

Kenanga Research di bawah Kenanga Investment Bank berkata, ini bagaimanapun bergantung kepada kecekapan pengurusan infrastruktur sedia ada bagi memastikan kualiti rangkaian yang optimum.

"Spektrum 3G itu berkemungkinan besar dapat dimanfaatkan kemudian bagi memacu keupayaan 4G dalam usaha melonjakkan sasaran ketersambungan Jendela.

"Bagi kemajuan seterusnya, diharapkan kita akan mempunyai infrastruktur yang kukuh untuk pelancaran rangkaian 5G kebangsaan pada pasca 2022," kata Kenanga Research dalam nota penyelidikannya.

Menyentuh syarikat telefon bimbit, Kenanga Research menjangkakan ada tekanan penyusutan lebih kecil terhadap purata pendapatan seunit (terutama prabayar) pada suku akan datang apabila pengguna lebih tertarik dengan ketersediaan pelan data tanpa had.

Ia turut menjangkakan peningkatan jumlah langganan apabila kebimbangan mengenai aspek kemampuan itu semakin reda.

"Oleh kerana usaha industri yang lebih cenderung terhadap model operasi lebih kecil dengan pengoptimuman penggunaan sumber, pelaburan dan usaha dalam tempoh terdekat, adalah dijangkakan ini tidak memberi jaminan kepada pelabur mengenai potensi ganjaran sehingga ke peringkat menyeluruh.

"Berikutan itu, kami percaya pelaburan berkemungkinan lebih tepu pada masa ini apabila pelabur lebih menumpukan aktiviti lebih rancak, sekurang-kurangnya bagi suku akan datang," katanya. - Bernama

Disiarkan pada: January 7, 2021 @ 7:00am
d