bisnes

UMW lepasi sasaran jualan

UMW Holdings Bhd melepasi sasaran jualan kenderaannya bagi 2020 berikutan jualan kukuh yang dicatatkan UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat bersekutu 38 peratusnya, Perodua.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan UMW, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, pengecualian cukai jualan yang diumumkan kerajaan berkuatkuasa 15 Jun 2020 meningkatkan permintaan dan merangsang jualan pada separuh kedua tahun itu.

"UMWT mencatatkan jualan bulanan tertinggi dalam tahun itu pada Disember dengan menjual 9,246 unit kenderaan, menjadikan jumlah jualan sebanyak 59,320 unit pada 2020.

"Ini melebihi sasaran jualan 53,000 unit bagi 2020 dengan Toyota Vios, Yaris dan Hilux menjadi model jualan terbaik UMWT pada tahun itu," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sementara itu, Perodua menjual 25,171 unit kenderaan pada Disember 2020, sekali gus merekodkan jualan sebanyak 220,154 unit bagi 2020 dan melepasi sasaran 210,000 unit pada tahun berkenaan.

Disiarkan pada: January 8, 2021 @ 7:30am
d