bisnes

PIAM jamin percepat proses tuntutan akibat bajir

Oleh Bisnes HM

PERSATUAN Insurans Am Malaysia (PIAM) memberi jaminan kepada mangsa banjir yang memiliki perlindungan banjir bahawa ahli-ahlinya bersedia untuk mempercepat proses tuntutan dan bayaran kerugian yang disebabkan oleh bencana itu.

PIAM dalam kenyataan hari ini berkata, syarikat ahli PIAM akan memproses semua tuntutan banjir dengan syarat banjir adalah bencana yang dilindungi, tanpa mengambil kira sama darurat diisytiharkan atau tidak.

"Ahli PIAM komited untuk mempercepat penyelesaian tuntutan banjir dengan menghubungi pihak yang menuntut dan bersedia untuk mengetepikan borang tuntutan dan dokumen sokongan bagi memastikan tempoh pemprosesan yang lebih singkat.

"Syarikat insurans juga bersedia untuk menawarkan pengecualian bukti polisi pengembalian semula, membolehkan penggunaan purata bagi polisi yang kurang diinsuranskan dan memberikan pengecualian bagi lebihan yang dikenakan bagi polisi melindungi daripada kerugian kewangan," katanya.

Bagaimanapun, PIAM menasihatkan pemegang polisi untuk memeriksa dengan syarikat insurans masing-masing mengenai langkah-langkah bantuan atau pengecualian yang diambil syarikat itu kerana ia berbeza daripada satu syarikat dengan syarikat yang lain.

Meskipun polisi kebakaran dan motor standard tidak memasukkan perlindungan terhadap kerugian yang disebabkan bencana alam seperti gempa bumi, tsunami dan taufan, PIAM berkata, perlindungan terhadap kerugian atau kerosakan berkaitan banjir adalah pilihan dan boleh dibeli sebagai lanjutan kepada polisi standard ini.

"Semua pemegang polisi, perniagaan dan juga individu, yang berada di kawasan dilanda banjir dinasihatkan untuk memeriksa polisi kebakaran dan motor mereka untuk menentukan sama ada mereka dilindungi terhadap kerugian atau kerosakan akibat banjir," katanya.

Disiarkan pada: January 11, 2021 @ 7:00pm
d