bisnes

MDEC manfaat modal insan

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

PERBADANAN Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan meneroka banyak bidang baharu tahun ini dan memanfaatkan modal insan yang dimiliki agensi berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Surina Shukri berkata, hala tuju MDEC tahun ini adalah untuk menjadi sebahagian daripada penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi negara yang dijangka tumbuh sekitar tujuh peratus seperti diunjurkan Bank Dunia.

Katanya, MDEC juga komited untuk melaksanakan tanggungjawab seperti diperincikan dalam Belanjawan 2021 dengan meneruskan inisiatif terkait digital untuk manfaat rakyat dan negara.

"Pada masa sama, kita juga akan mengenal pasti bidang yang mana Malaysia mempunyai kekuatan dan bersedia untuk menjadi pemain utama global.

"MDEC juga akan berfungsi sebagai organisasi digital yang diselaraskan secara automatik serta didorong oleh data serta bersedia dengan kecerdasan buatan (AI).

"Saya memberi jaminan MDEC akan meneroka banyak bidang baharu dalam tempoh terdekat ini dengan pantas dan memanfaatkan modal insan yang dimiliki agensi," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, teknologi kewangan Islam sebagai contoh antara sektor yang mempunyai potensi cukup besar, tidak mustahil Malaysia mampu menjadi rujukan utama global.

Beliau berkata, Moody's Investors Service dalam nota penyelidikan merumuskan pasaran produk kewangan Islam seperti sukuk yang diberi perhatian oleh Malaysia kekal kukuh pada 2019.

"Potensinya cukup besar kerana mencatatkan peningkatkan kukuh 26 peratus di pasaran Timur Tengah dan Malaysia tahun lalu.

"Agensi penarafan itu turut menyatakan walaupun berdepan gangguan pandemik, kadar penembusan meningkat dengan stabil pada sembilan bulan pertama 2020 kerana sokongan kumpulan kewangan domestik untuk mengembangkan sektor ini.

"Selanjutnya, kita jangan lupakan potensi besar dimiliki industri kandungan kreatif digital yang sering memberi kejutan apabila semakin banyak produk animasi digital berlabel Made in Malaysia diterima baik di pasaran antarabangsa.

"Senarai seperti Upin & Upin, Ejen Ali The Movie dan terbaharu siri televisyen, Robozeta mengumpul peminatnya merentasi sempadan negara. Maka, tidak mengejutkan Malaysia mendominasi sektor ini di Asia Tenggara," katanya.

Surina berkata, beralih kepada trend terkini, iaitu IR4.0, data raya, AI dan teknologi dron, semua ini berada dalam perancangan untuk diteruskan dan sudah pasti menerusi kerjasama awam dan swasta yang sentiasa menjadi amalan MDEC.

Disiarkan pada: January 12, 2021 @ 8:30am
d