bisnes

13 bank tawar bantuan untuk mangsa banjir

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur,: Sebanyak 13 bank menyahut gesaan membabitkan pemberian bantuan dalam bentuk moratorium serta berkaitan banjir bagi membantu mangsa-mangsa bencana terbabit.

Kejadian banjir itu menjejaskan negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Perak, Sabah dan terbaharu di Sarawak.

Susulan itu, sejak Isnin lalu, institusi kewangan seperti Affin Bank Bhd, RHB Bank Bhd, Public Bank Bhd, Malayan Bank Bhd, Bank Simpanan Nasional Bhd, Bank Muamalat Malaysia Bhd, CIMB Bank Bhd, Bank Islam Malaysia Bhd, Alliance Bank Malaysia Bhd, Hong Leong Bank Bhd, SME Bank Bhd, OCBC Bank Bhd dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) sudah menawarkan bantuan bagi pelanggan masing-masing.

Ini termasuk kelonggaran pembayaran balik pinjaman/pembiayaan atau moratorium sehingga enam bulan selain membenarkan penangguhan ansuran pinjaman dan pengecualian caj bayaran lewat.

Affin Bank, CIMB, Hong Leong, OCBC dan Bank Rakyat pula bertindak menderma sejumlah RM1.6 juta kepada agensi-agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan.

Dalam pada itu, pengisytiharan darurat bagi membendung penularan Covid-19 pada Selasa lepas turut mendorong Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Hutang Kredit, Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), dan Persatuan Insurans Hayat Malaysia, turut tampil menawarkan bantuan.

PIAM misalnya memberi jaminan kepada mangsa banjir yang mempunyai perlindungan insurans banjir bahawa ahli-ahlinya bersedia untuk mempercepatkan proses tuntutan dan bayaran kerugian akibat bencana itu.

Disiarkan pada: January 15, 2021 @ 1:25pm
d