bisnes

Sufian Abdullah CEO baharu UEM Sunrise

Oleh Bisnes HM

UEM Sunrise Bhd (UEM Sunrise) melantik Sufian Abdullah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu berkuatkuasa pada 2 Februari 2021.

UEM Sunrise dalam kenyataan berkata, Sufian kini adalah CEO KWEST Sdn Bhd, cabang hartanah Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dan mempunyai pengalaman lebih daripada 20 tahun dalam pembangunan hartanah dan industri hartanah.

Beliau juga seorang arkitek terlatih dengan rekod prestasi cemerlang dalam reka bentuk bandar dan persekitaran binaan berprestasi tinggi.

Pengerusi UEM Sunrise, Datuk Noorazman Abd Aziz, berkata, pelantikan Sufian datang pada waktu yang tepat kerana syarikat itu akan melaksanakan visi yang berani walaupun negara ini menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu sementara sektor hartanah masih menghadapi beberapa cabaran yang unik.

"Latar belakangnya sebagai arkitek dan kecekapan serta minat mendalamnya dalam sektor pembangunan hartanah adalah aset yang luar biasa bagi syarikat kami.

"Ahli Lembaga berharap mahu bekerjasama rapat dengan Sufian ketika apabila beliau memimpin UEM Sunrise kelak.

"Dengan sokongan daripada pasukan pengurusan yang mantap, kami yakin Sufian akan menerajui pertumbuhan trajektori yang kukuh dan mampan untuk syarikat kami termasuk menghasilkan perkhidmatan nilai tambah dan produk yang terbaik untuk pelanggan," katanya.

Disiarkan pada: January 19, 2021 @ 11:42am
d