bisnes

Industri automotif dijangka terus dapat permintaan

PERMINTAAN terhadap industri automotif Malaysia dijangka terus meningkat dalam tempoh pasca sekatan pergerakan.

Menurut Carsome, platform perniagaan kereta terpakai tempatan dalam talian yang kian berkembang, hasil dapatan Kaji Selidik Pengguna yang dijalankan mendapati responden di Malaysia yang berhasrat membeli kereta telah meningkat sebanyak 32 peratus berbanding tempoh sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Carsome Eric Cheng berkata, masalah kekurangan komponen kereta seperti cip elektronik, akan menimbulkan isu seperti bekalan kereta baharu yang terjejas atau penangguhan penghantarannya dalam jangka pendek hingga pertengahan.

"Berikutan itu, industri kereta terpakai dilihat berada dalam kedudukan baik kerana tidak membabitkan sebarang tempoh menunggu penghantaran kereta," katanya.

Hasil dapatan kaji selidik Carsome membabitkan responden di Malaysia, Thailand dan Indonesia yang dijalankan pada Oktober lepas menunjukkan ramai rakyat Malaysia yang berhasrat membeli kereta dalam tempoh enam bulan ini.

Pendirian itu turut dikongsi responden di Thailand dan Indonesia yang bercadang untuk berbuat demikian dalam tempoh tujuh hingga 12 bulan kerana lebih yakin dengan kuasa membeli pada masa itu serta disokong oleh pendapatan yang lebih stabil.

"Ini berikutan sebahagian besar daripada pengguna di tiga negara itu tidak selesa menggunakan pengangkutan awam selepas tempoh penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan kerana bimbang dijangkiti virus berkenaan," katanya.

Selain itu, bilangan mereka yang berhasrat menjual kereta masing-masing bagi tempoh pasca sekatan pergerakan juga telah meningkat, didahului oleh rakyat Malaysia (sehingga 133 peratus berbanding sebelum sekatan), rakyat Indonesia (+52 peratus) manakala Thailand (+15 peratus).

Ramai memberi alasan tindakan itu bertujuan mendapatkan lebih banyak wang tunai.

Dalam kaji selidik itu, masing-masing seramai 1,000 pengguna Malaysia, 1,005 pengguna Indonesia dan 1,055 pengguna Thailand berkongsi pandangan mengenai pembelian dan penjualan kereta selain penggunaan pengangkutan awam dan perkhidmatan e-panggilan ketika tempoh pandemik Covid-19.

Menurut kaji selidik itu, platform penjualan kereta secara dalam talian juga terbukti semakin popular berikutan keselesaan dan kemudahannya selain turut menunjukkan lonjakan aspek pendigitalan dalam pasaran kereta terpakai.

Disiarkan pada: January 21, 2021 @ 6:56am
d