bisnes

i-Sinar: 3.18 juta permohonan dilulus

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meluluskan 3.18 juta permohonan di bawah i-Sinar bernilai RM25.3 bilion bagi Kategori 1.

Ia sebahagian daripada 4.8 juta permohonan yang dibuat di bawah Kategori 1.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, setakat 20 Januari lalu, KWSP juga membuat bayaran kepada ahli yang diluluskan permohonannya dengan jumlah keseluruhan RM13 bilion bagi bayaran yang dibuat pada bulan ini.

"Seperti diumumkan Perdana Menteri pada 18 Januari lalu, bagi menambah baik kemudahan i-Sinar, terutamanya bagi mereka yang menghadapi cabaran akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan bencana banjir, KWSP membuat bayaran interim sehingga RM1,000 bagi pemohon i-Sinar Kategori 2.

"Proses pengeluaran i-Sinar Kategori 2 juga dipermudahkan di mana ahli hanya perlu mengisytiharkan secara kendiri mereka memenuhi kriteria yang ditetapkan dan dokumen sokongan boleh dihantar secara dalam talian serta semakan akan dibuat kemudian.

"Malah, kerajaan juga telah meminta KWSP memudahkan proses bayaran interim ini, yang akan dibuat mulai 26 Januari," katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, terdapat beberapa langkah lain serta peruntukan dari agensi kerajaan yang tidak termasuk di dalam suntikan fiskal kerajaan.

"Ia termasuk moratorium bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN); moratorium bayaran balik atau penjadualan semula pinjaman Mara dan pengurangan sewa premis Mara sebanyak 30 peratus.

"Selain itu, terdapat diskaun khas 10 peratus bagi bil elektrik kepada enam sektor perniagaan yang terpilih di seluruh negara; rebat elektrik kepada semua pengguna Tenaga Nasional Berhad (TNB), domestik dan bukan domestik, yang akan mendapat manfaat penurunan bil elektrik sehingga sembilan peratus.

"Kerajaan juga mempercepat pelaksanaan skim mikrokredit Bank Simpanan Nasional (BSN), Agrobank dan Tekun; selain pelbagai insentif pelepasan cukai turut diberikan," katanya.

Disiarkan pada: January 22, 2021 @ 7:10am
d