bisnes

Top Glove buka 9,000 peluang pekerjaan

Oleh Bisnes HM

TOP Glove Corporation Bhd menawarkan sebanyak 9,000 peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan sepanjang 2021 bagi membantu menangani pengangguran di negara ini.

Pengarah Urusan Top Glove, Datuk Lee Kim Meow berkata, pihaknya berharap dapat mencapai sasaran itu menerusi kempen pengambilan pekerja selama setahun yang dimulakan dengan Pameran Kerjaya Top Glove Secara Maya, esok (23 Januari).

"Program itu bertujuan menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka yang baharu tamat pengajian universiti, institusi vokasional selain pekerja am di Malaysia.

"Ini membabitkan masing-masing sebanyak 4,000 jawatan untuk pekerja tempatan; 2,300 jawatan untuk lulusan baharu universiti dan vokasional teknologi; 2,000 pelatih latihan industri dan pelatih serta 700 pekerja yang berpengalaman," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, program itu diharap dapat membantu mereka yang sedang mencari kerja untuk mendapatkan kerjaya yang memberi manfaat.

"Kami juga berbangga dapat membantu serta menyokong rakyat Malaysia dengan menawarkan pekerjaan ini yang turut menjadi antara usaha penting bagi membolehkan ekonomi dan sosial negara kembali pulih daripada pandemik ini," katanya.

Disiarkan pada: January 22, 2021 @ 2:29pm
d