bisnes

Yayasan AirAsia lancarkan kempen sumbangan buku

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Yayasan AirAsia melancarkan kempen sumbangan buku Books for Good sempena Hari Pendidikan Antarabangsa hari ini.

Kempen selama dua minggu yang bermula hari ini menjemput semua orang untuk membeli buku kanak-kanak berharga RM25 setiap satu dari DestinationGood.com, laman perusahaan sosial Yayasan AirAsia

Menampilkan judul yang bertemakan budaya dan alam, kempen ini bukan hanya akan memberi manfaat kepada kanak-kanak terbabit tetapi juga pengarang dan ilustrator tempatan.

Pengarah Eksekutif Yayasan AirAsia Yap Mun Ching berkata, pihaknya berbesar hati menganjurkan kempen sumbangan buku ini untuk membantu pusat perlindungan kanak-kanak dalam situasi semasa yang penuh cabaran yang menyebabkan mereka tidak dapat bersekolah.

Katanya, kanak-kanak di pusat perlindungan selalunya kekurangan sumber pendidikan, jadi pihaknya berharap kempen ini dapat membantu menambah sumber pendidikan di perpustakaan, seterusnya mendorong mereka menyayangi hidupan liar dan menghargai kepelbagaian budaya di Malaysia.

"Matlamat kami adalah untuk mendapatkan sumbangan sehingga 100 buku supaya kami dapat menawarkan pelbagai pilihan judul yang menarik kepada mereka.

"Kami mengalu-alukan orang ramai untuk menyokong kempen ini dan membantu mereka yang memerlukan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semua sumbangan yang diterima akan disalurkan kepada tiga pusat perlindungan kanak-kanak di bawah Shelter Home for Children yang menjaga kanak-kanak kurang bernasib baik berusia dari empat hingga 12 tahun.

Tarikh 24 Januari sudah diisytiharkan sebagai Hari Pendidikan Antarabangsa oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk meraikan peranan pendidikan dalam keamanan dan pembangunan.

Ia juga mengetengahkan pendidikan berkualiti inklusif dan saksama serta peluang pendidikan untuk semua, bagi mencapai kesetaraan gender dan membasmi kemiskinan melalui pendidikan.

Disiarkan pada: January 24, 2021 @ 6:32pm
d