bisnes

MITI perketat SOP elak penularan di tapak

Oleh Bisnes HM

KERAJAAN mungkin menimbang mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) untuk mengelakkan penularan di tapak dan memperkenalkan garis panduan jelas mengenai perancangan geospatial seperti menyatakan kuantiti tetapan dalaman pada masa tertentu.

Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya juga akan memastikan meningkatkan pengujian bersasar serta mengawal selia kos kit ujian RTK-Antigen.

"Ini bagi menjadikan ujian Covid-19 lebih murah dan boleh dilakukan dengan lebih meluas terutamanya bagi industri," katanya dalam kenyataan susulan gesaan agar kerajaan mengenakan semula sekatan pergerakan sepenuhnya bagi menangani lonjakan tinggi kes jangkitan di negara ini.

Menurutnya, sebarang tindakan yang diambil perlu dilihat bersama cadangan lain mengenai strategi dan pilihan alternatif.

"MITI juga mencadangkan SOP bagi majlis sosial diperketatkan manakala larangan penuh bagi perjalanan antara negeri perlu dilaksanakan buat sementara waktu.

"Bagaimanapun, kami menggesa perniagaan terus dibuka dengan pematuhan sepenuhnya kepada SOP ketat," katanya.

Menurutnya, kementerian menegaskan pembabitan dan pemerkasaan masyarakat adalah penting dalam memerangi Covid-19 kerana pandemik itu bermula dan menular dalam masyarakat, dan penyelesaiannya adalah dalam masyarakat itu sendiri menerusi tingkah laku, penyesuaian diri dan pematuhan mereka.

Sementara itu, ia juga menghargai sokongan padu dan kerjasama pemegang kepentingan industri dan rakyat bagi memastikan pemulihan dan kemampanan ekonomi di tengah-tengah penularan mengganas Covid-19.

Menurutnya, sinergi Awam-Swasta-Rakyat adalah satu nilai yang paling berharga bagi pembinaan negara dan boleh diterima oleh semua orang.

Disiarkan pada: January 26, 2021 @ 9:24pm
d