bisnes

Wasiyyah bantu 45,000 selesai hibah hartanah bercagar

WASIYYAH Shoppe Bhd, syarikat amanah patuh syariah terbesar di Malaysia mengumumkan ia sudah membantu 45,000 individu menyediakan dokumen hibah untuk hartanah yang masih bercagar (hartanah dalam pembiayaan) setakat 31 Disember lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ariffin Sabirin berkata, Wasiyyah firma pertama yang memperkenalkan kaedah hibah hartanah bercagar sejak 2015 dan penyedia dokumen terbanyak bagi segmen pasaran ini.

"Kami mula memperkenalkan kaedah hibah pada 2004 sebaik saja mula beroperasi namun kaedah hibah untuk hartanah bercagar ini kami perkenalkan secara agresif mulai 2015," katanya.

Menurutnya, ia diperkenalkan kerana pihaknya mendapati wujud keperluan mendesak bagi ibu bapa yang membeli rumah secara pinjaman untuk menghibahkan rumah mereka kepada anak-anak yang masih di bawah umur.

"Apabila seorang atau kedua-dua pasangan ini meninggal dunia, rumah yang masih bercagar itu menjadi harta pusaka dan mempunyai hak waris mengikut hukum faraid ke atasnya.

"Melalui pengalaman operasi 17 tahun, kami dapati kebiasaannya pasangan dan anak-anak yang akan bertungkus-lumus melangsaikan baki pinjaman kerana mereka menetap di rumah itu.

"Waris faraid yang lain biasanya hanya lebih berminat menuntut hak selepas baki pinjaman dilangsaikan," katanya.

Menurutnya, perkhidmatan hibah hartanah bercagar Wasiyyah membantu mengatasi cabaran itu di mana hartanah yang dihibahkan tidak akan menjadi harta pusaka dan tidak perlu diagihkan kepada waris mengikut hukum faraid.

"Ia menjadi milik penerima hibah sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata, bagi memberi peluang lebih ramai orang Islam menghibahkan hartanah mereka yang masih dalam cagaran dalam musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, Wasiyyah memberikan tawaran diskaun 50 peratus sehingga 28 Februari ini.

Disiarkan pada: February 1, 2021 @ 6:58am
d