bisnes

Bantu 5,000 graduan menganggur

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) melalui unit Protege diberi mandat untuk membantu penempatan 5,000 graduan menganggur tahun ini, lebih 60 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu yang membabitkan sekitar 3,000 graduan.

Peserta akan ditempatkan di bawah program Protege Sedia untuk Bekerja (RTW) di jabatan dan agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah skim pekerjaan jangka pendek bagi tempoh antara lapan dan 12 bulan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, langkah berkenaan sangat penting dalam membantu kerajaan menangani masalah graduan menganggur terutama dalam tempoh pasca-Covid-19.

"Ketika ini, terdapat 232,000 graduan menganggur di seluruh negara dan dalam keadaan ekonomi negara yang mencabar, graduan khususnya yang baharu saja tamatkan pengajian lebih sukar mendapatkan pekerjaan stabil.

"Pengangguran dalam kalangan graduan perlu campur tangan kerajaan dan program seperti Protege diharap dapat memberi pendedahan kepada mereka mengenai sektor pekerjaan sebenar.

"Kita berharap agar peserta dapat menimba pengalaman dan kemahiran baharu selepas tamat penempatan mereka kelak supaya mereka dapat meningkatkan kebolehpasaran pada masa akan datang," katanya.

Menurutnya, ketakpadanan kemahiran juga dikenal pasti sebagai antara faktor penyumbang utama graduan kekurangan kebolehpasaran di kalangan bakal majikan, terutama di sektor swasta.

"Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada industri, pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh ketika pengajian tidak memenuhi permintaan dan kehendak industri, sehingga menyukarkan penawaran pekerjaan.

"Selain itu, kekurangan penguasaan Bahasa Inggeris juga dikenal pasti sebagai punca masalah kebolehpasaran mereka.

"Memang benar, peranan utama institusi pengajian tinggi untuk mendidik pelajar namun mereka menumpukan pada aspek teori dari proses pembelajaran itu, tetapi tidak sediakan mereka dengan kemahiran dan pengetahuan yang akan menjadikan graduan ini mudah digunakan.

"Di Medac, kami sedang mencari cara bagaimana membantu kerajaan menangani masalah ini antaranya melalui perbincangan dengan Institut Koperasi Malaysia (IKM) mengenai bagaimana mereka dapat membantu lebih banyak program latihan untuk graduan melengkapkan kemahiran yang diperlukan industri," katanya.

Disiarkan pada: February 17, 2021 @ 7:00am
d