bisnes

edotco Malaysia dilantik penyedia telekomunikasi menara Merdeka 118

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd (PMVSB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengumumkan pelantikan edotco Malaysia sebagai penyedia perkhidmatan rangkaian telekomunikasi bagi menara Merdeka 118.

edotco Malaysia akan merancang, menyedia serta menyelenggara solusi rangkaian selular di dalam bangunan (IBS) bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan rangkaian telefon selular yang terbaik dan lancar tanpa gangguan di dalam menara ikonik ini.

Penggunaan teknologi IBS generasi seterusnya memastikan liputan yang lebih menyeluruh dan merangkumi kawasan terlindung serta meluaskan kawasan liputan di tempat terlindung seperti di dalam lif dan ruang bawah tanah serta parkir kereta untuk mewujudkan pengalaman pengguna yang terbaik.

Ketua Pegawai Pelaburan Hartanah PNB, Rick Ramli berkata, usaha ini menandakan perkembangan penting dari segi pembangunan menara Merdeka 118 yang hampir siap.

"Buat masa ini, pembinaan 70 peratus siap. Kami menantikan fasa seterusnya untuk menara Merdeka 118 dengan pemasangan teknologi infrastruktur telekomunikasi generasi akan datang bagi menyokong keperluan komunikasi masa depan.

"Kami yakin, berdasarkan rekod prestasi, kepakaran teknikal dan penyelesaian inovatif, edotco dapat memenuhi keperluan dinamik penghuni perniagaan dan rekreasi di menara Merdeka 118," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Serantau edotco Group dan Pengarah Urusan edotco Malaysia, Wan Zainal Adileen berkata, Menara Merdeka 118 antara pencapaian kejuruteraan yang dikagumi.

"Kami berbesar hati kerana diberi peluang untuk bekerjasama dengan PNB Merdeka Ventures melalui kemampuan dan kepakaran kami untuk menyediakan telekomunikasi yang inovatif," katanya.

Perkhidmatan edotco akan merangkumi infrastruktur telekomunikasi untuk pejabat, menara hotel dan pusat beli-belah di menara Merdeka 118.

Pembangunan seluas tiga juta kaki persegi ini adalah pencakar langit setinggi 635 meter.

Sebaik siap, menara Merdeka 118 akan menjadi bangunan tertinggi di Asia Tenggara.

Kerja pemasangan IBS akan dilengkapkan mengikut jadual perasmian pembukaan menara mercu tanda ini pada 2022.

Disiarkan pada: February 17, 2021 @ 7:01am
d