bisnes

Lebuhraya SUKE 87 peratus siap

Kuala Lumpur: Projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) mencatat kemajuan keseluruhan pembinaan sebanyak 87 peratus pada akhir tahun lalu.

Ia disokong dengan pakej CB3 yang menghubungkan Jalan Taman Putra dengan Jalan Merbau berhampiran Pekan Ampang yang sudah 100 peratus siap.

Pakej CB3 ini adalah pakej pertama dalam lapan pakej pembinaan yang siap sepenuhnya bagi projek Lebuhraya SUKE.

Timbalan Pengurus Besar SUKE, Dr Zarulazam Eusofe berkata, pakej CB3 sepanjang 2.7 kilometer (km) membabitkan laluan kawasan Ampang Waterfront, Bandar Baru Ampang dan berakhir di Jalan Merbau berhampiran LRT Ampang mengambil masa empat tahun dan berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual ditetapkan.

"Apabila Lebuhraya SUKE ini dibuka kepada pengguna kelak, jajaran pakej ini akan membantu melancarkan aliran trafik dari kawasan sekitar Bukit Indah, Kampung Dato Mufti, Taman Kosas dan Bandar Baru Ampang.

"Pengguna yang menghala ke Pusat Bandar Kuala Lumpur cuma perlu menggunakan Persimpangan Kosas atau Persimpangan Ampang seterusnya melalui Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).

"Dengan jarak anggaran sekitar 12km ini dari persimpangan itu, pemanduan hanya akan mengambil masa sekitar lapan minit dan tanpa perlu menempuh kesesakan trafik di Jalan Ampang," katanya.

Menurutnya, selain itu, dengan pembangunan projek Lebuhraya SUKE ini, ia bakal memberi manfaat besar terutama kepada penduduk sekitar Ampang.

"Kami juga menaik taraf Jalan Ampang sedia ada yang terletak di bawah struktur Lebuhraya SUKE.

"Jalan Ampang yang sebelum ini hanya mempunyai dua lorong kini dilebarkan kepada tiga lorong setiap hala.

"Dengan penambahbaikan ini, pengguna di Jalan Ampang akan mendapat jalan yang lebih selesa dan lancar serta percuma," katanya.

Katanya, pembinaan Lebuhraya SUKE sepanjang 24.4km bermula pada 29 Ogos 2016 dan apabila siap sepenuhnya kelak, ia dijangka mengurangkan kesesakan lalu-lintas sekurang-kurangnya sebanyak 30 peratus di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan

di kawasan berkepadatan tinggi seperti Cheras, Pandan Indah dan Ampang.

Disiarkan pada: February 20, 2021 @ 7:10am
d