bisnes

EU harus tekan prinsip keadilan dalam perdagangan minyak sawit

Oleh Bisnes HM

Kuala Lumpur: Kesatuan Eropah (EU) harus menekankan prinsip keadilan, ketelusan dan tidak mengamalkan diskriminasi dalam perdagangan minyak sawit.

   Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, negara barat harus mempertahankan persaingan global yang sama rata dalam memperdagangkan komoditi, terutama pengimportan minyak sawit sesuai dengan prinsip perdagangan bebas.

   "Kita selalu membaca laporan negatif mengenai minyak sawit oleh badan bukan kerajaan (NGO) di Barat.

  "Kempen negatif mereka mengaitkan penanaman sawit dengan penebangan hutan dan kehilangan biodiversiti di Asia Tenggara.

  "Perlakuan tidak adil terhadap minyak sawit seperti label produk 'Tanpa Minyak Sawit' akan mengelirukan dan memberi imej negatif kepada pengguna.

   "Barat tidak sepatutnya memperlekehkan minyak sawit bagi melindungi kepentingan minyak sayuran yang bersaing di pasaran dunia," katanya.

  Beliau menegaskan bahawa negara Barat, terutama EU, harus melihat kemajuan penting yang sudah dicapai oleh Malaysia untuk pengeluaran minyak sawit yang mampan serta usaha untuk pemuliharaan hutan dan biodiversiti.

  "Dasar dan program untuk pemuliharaan dan inisiatif hijau sudah ada. Industri sawit Malaysia adalah salah satu sektor yang paling banyak dikawal dengan perundangan dan peraturan untuk memastikan pembangunan mampan dan pematuhan piawaian domestik dan antarabangsa.

  "Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) sudah menubuhkan Dana Pemuliharaan Hijau Sawit Malaysia yang memfokuskan pada aktiviti penanaman semula pokok hutan, mengurangkan konflik manusia-haiwan dan pemuliharaan biodoversiti, " katanya.

  Dr Ahmad Parveez berkata, Skim Persijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang dilancarkan pada 2015 dan diwajibkan pelaksanaannya mulai 1 Januari 2020 sudah meningkatkan nilai minyak sawit Malaysia dengan meminimumkan jejak karbon industri.

  Industri sawit Malaysia komited untuk pengeluaran minyak sawit mengikut prinsip dan kriteria yang ditetapkan oleh MSPO yang memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti melalui amalan pertanian yang baik dan penggunaan bahan tanaman berkualiti.

Skim ini juga menekankan kesejahteraan pekerja dan melindungi alam sekitar daripada kemungkinan pencemaran dan aktiviti yang bertentangan dengan perundangan nasional dan negeri.

  Katanya, kerajaan melaksanakan beberapa polisi utama pada tahun 2019 yang meliputi mengehadkan kawasan penanaman sawit kepada 6.5 juta hektar, menghentikan penanaman kelapa sawit di kawasan tanah gambut dan pelaksanaan peraturan penanaman sawit di tanah gambut dengan lebih ketat untuk memastikan pembangunan mampan industri sawit.

  Kerajaan juga menegah penukaran kawasan hutan simpanan kekal untuk penanaman sawit dan menghebahkan peta penanaman sawit untuk makluman masyarakat.

  Dr Ahmad Parveez menekankan bahawa usaha berterusan Malaysia meningkatkan pengeluaran minyak sawit yang mampan tidak dapat dicapai tanpa kerjasama dan komitmen dari semua pihak yang berkepentingan termasuk negara pengimport minyak sawit.

Disiarkan pada: February 21, 2021 @ 3:51pm
d