bisnes

OPR kekal pada 1.75 peratus

Oleh Bisnes HM

Kuala Lumpur: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus.

Bank pusat dalam kenyataan hari ini berkata, pemulihan ekonomi global semakin rancak meskipun tidak sekata, disokong oleh peningkatan yang stabil dalam aktiviti perkilangan dan perdagangan.

"Program pemberian vaksin yang sedang dilaksanakan di banyak negara, bersama-sama dengan sokongan dasar, akan terus membantu menambah baik keadaan permintaan swasta dan pasaran tenaga kerja.

"Meskipun pasaran kewangan telah mengalami volatiliti, keadaan kewangan terus menyokong kegiatan ekonomi.

"Risiko terhadap prospek pertumbuhan telah berkurang sedikit, tetapi terus cenderung ke arah pertumbuhan menjadi lebih perlahan.

"Hal ini disebabkan terutamanya oleh ketidakpastian berhubung pandemik Covid-19 dan keberkesanan program pemberian vaksin," katanya.

Menurutnya, bagi Malaysia, penunjuk terkini menunjukkan permintaan luaran bertambah baik dan perbelanjaan pengguna berterusan.

"Walaupun pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan akan menjejaskan pertumbuhan pada suku pertama, kesannya dijangka tidak seteruk yang dialami pada suku kedua tahun 2020.

"Pada masa hadapan, pertumbuhan diunjurkan meningkat mulai suku kedua dan seterusnya.

"Keadaan ini didorong oleh pemulihan permintaan global, peningkatan perbelanjaan sektor awam dan swasta berikutan sokongan yang berterusan daripada langkah-langkah dasar serta langkah-langkah pembendungan yang lebih bersasar.

"Pertumbuhan juga akan disokong oleh pengeluaran lebih tinggi daripada fasiliti sedia ada dan baharu dalam sektor perkilangan, khususnya dalam subsektor elektrik dan elektronik (E&E) dan subsektor berkaitan sumber, serta loji pengeluaran minyak dan gas," katanya.

BNM berkata, program pemberian vaksin Covid-19 dalam negeri juga akan meningkatkan sentimen dan kegiatan ekonomi. "Bagaimanapun, prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan ekonomi yang rendah.

"Keadaan ini berpunca terutamanya daripada ketidakpastian yang berterusan mengenai perkembangan berkaitan pandemik serta cabaran yang boleh menjejaskan pemberian vaksin pada peringkat global dan dalam negeri," katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, purata inflasi keseluruhan pada tahun 2021 diunjurkan lebih tinggi disebabkan terutamanya oleh harga minyak yang meningkat.

"Dari segi trajektori, inflasi keseluruhan dijangka naik mendadak untuk sementara waktu pada suku kedua tahun 2021. "Hal ini disebabkan oleh asas yang lebih rendah daripada harga runcit bahan api dalam negeri yang rendah pada suku sama tahun 2020, sebelum menjadi sederhana.

"Inflasi asas dijangka kekal rendah dalam keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi.

"Bagaimanapun, prospek ini bergantung pada perkembangan harga minyak dunia dan komoditi," katanya.

Disiarkan pada: March 4, 2021 @ 4:27pm
d