bisnes

Malaysia ekonomi berpendapatan tinggi pada 2024-2028

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia dijangka mencapai peralihan kepada ekonomi berpendapatan tinggi antara 2024 dan 2028, menunjukkan trajektori pembangunan transformasi ekonomi negara sejak beberapa dekad yang lepas, menurut Kumpulan Bank Dunia.

Bagaimanapun, katanya pembaharuan selanjutnya diperlukan untuk menyertai barisan negara-negara maju yang lain.

Ia berkata demikian dalam laporan terkininya, "Aiming High – Navigating the Next Stage of Malaysia's Development" yang dilancarkan dalam talian pada Selasa.

Pendapatan negara kasar per kapita Malaysia sebanyak AS$11,200 (RM46,032), menurut anggaran terkini, dan hanya kekurangan AS$1,335 (RM5,487) daripada paras ambang semasa yang mentakrifkan sebuah ekonomi berpendapatan tinggi.

"Sasaran Malaysia bukan hanya menjadi ekonomi berpendapatan tinggi, tetapi juga dengan pertumbuhan yang mampan dan dikongsi bersama," kata Naib Presiden Bank Dunia bagi Asia Timur dan Pasifik Victoria Kwakwa pada pelancaran laporan itu.

Laporan itu dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Kwakwa berkata, ciri-ciri teras laporan itu ialah menilai Malaysia berbanding bukan hanya negara-negara serantau di ASEAN tetapi juga negara-negara yang mempunyai aspirasi - negara-negara Organisasi untuk Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi dengan negara-negara maju - Malaysia berhasrat untuk menyertainya, dan, yang penting berbanding 19 negara lain yang berjaya beralih daripada status berpendapatan sederhana kepada berpendapatan tinggi dalam tempoh 30 tahun lalu.

Beliau menegaskan Malaysia mempunyai semua ciri-ciri yang diperlukan untuk membuat lonjakan tetapi menghadapi peringkat pembangunan seterusnya akan memerlukan langkah-langkah yang berani dan pembaharuan yang sukar.

Merujuk kepada laporan itu, katanya model pembangunan yang berjaya pada masa lalu tidak lagi mencukupi untuk membantu Malaysia menghadapi peringkat pembangunan yang seterusnya, justeru, satu kumpulan dasar dan institusi yang berbeza akan diperlukan untuk meningkatkan kualiti, keterangkuman dan kemampanan pertumbuhan ekonomi pada masa depan.

Laporan itu menyatakan persediaan terbaik untuk peralihan pendapatan dan memastikan Malaysia tidak ketinggalan daripada negara-negara berpendapatan tinggi dan maju yang lain, negara perlu mencari cara untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi, menambah baik daya saingnya, mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi, mengukuhkan institusinya, memastikan keterangkuman yang lebih besar dan meningkatkan kapasitinya untuk membiayai peralihan kepada status negara maju dan berpendapatan tinggi.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, kemajuan ke arah ambang tersebut menjadi perlahan berikutan impak daripada pandemik Covid-19, tetapi negara mempunyai peluang untuk melakukan pembaharuan yang berani untuk mengekalkan pertumbuhan pada masa depan dan memastikan hasil pertumbuhan akan memberi manfaat kepada semua segmen penduduk.

"Kerajaan komited untuk terus menilai kualiti, keterangkuman dan kemampanan pertumbuhan Malaysia.

"Kita telah membina asas yang baik tetapi kita juga menyedari keperluan untuk melabur lebih banyak dalam membangunkan modal insan berkualiti tinggi bagi memudahkan peluang ekonomi yang lebih besar, pembaharuan generasi akan datang untuk produktiviti yang lebih tinggi serta pertumbuhan dan dasar sektor swasta yang diterajui oleh inovasi," katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut menerima pakai Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam belanjawan tahunannya.

Beliau berkata semua ini akan memastikan pertumbuhan yang mampan melalui strategi ekonomi berasaskan hasil dan bersasar, supaya Malaysia dapat memanfaatkan peluang ekonomi pasca pandemik.

Tengku Zafrul berkata, langkah-langkah ini akan membolehkan Malaysia kembali kepada landasan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi dalam tempoh lima tahun akan datang dan Wawasan Kemakmuran Bersama menjelang 2030.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Malaysia perlu bersaing di peringkat global apabila ia berhasrat untuk menyertai barisan ekonomi berpendapatan tinggi dan maju di dunia.

"Rancangan Malaysia Ke-12 akan menetapkan agenda kami untuk tempoh lima tahun akan datang.

"Ia adalah wahana di mana kerajaan menyasarkan untuk memacu pemulihan Malaysia daripada Covid-19, mendorong Malaysia ke arah status negara berpendapatan tinggi dan maju serta mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama," katanya.

Disiarkan pada: March 16, 2021 @ 4:27pm
d