bisnes

Pendaftaran syarikat baharu mengatasi syarikat ditutup

Kuala Lumpur: Jumlah syarikat baharu yang didaftarkan mengatasi jumlah syarikat yang ditutup pada tahun lalu walaupun menghadapi pandemik Covid-19, menunjukkan keupayaan usahawan untuk seiring dengan trend dan norma baharu selain menggunakan teknologi, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Merujuk statistik Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), beliau berkata, sebanyak 437,769 syarikat baharu didaftarkan termasuk 131,139 syarikat dalam talian baharu berbanding 78,420 syarikat yang ditutup.

"Ini menunjukkan jika seseorang itu dinamik, dapat menyesuaikan dengan perubahan dan menggunakan teknologi, mereka akan berjaya. Bagi menjadi usahawan yang berjaya, mereka perlu membuat keputusan dengan segera dan dapat mengubah pelan apabila ia tidak lagi sesuai dan bersedia untuk merebut peluang baharu.

"Mereka yang mengguna pakai teknologi akan berkembang dan mereka yang sebaliknya akan menghadapi kesukaran," katanya dalam ucapan pada majlis Anugerah Perniagaan PKS dan Keusahawanan (SEBA) 2020, kelmarin.

Sebanyak 55 anugerah berprestij diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan pada Majlis Makan Malam Gala Penyampaian Anugerah di sini.

Beliau berkata, kementerian akan memberikan penyelesaian yang menyeluruh kepada usahawan, daripada kategori tidak formal dan mikro sehingga kepada mereka yang berada dalam kategori berteknologi tinggi dan bermodal tinggi.

Katanya, kementerian dan agensinya akan membantu mewujudkan ekosistem yang kondusif untuk keusahawanan di Malaysia bagi berkembang maju.

"Tanpa mengambil kira kategori anda berada, apabila anda berjumpa kami, kami akan membimbing anda, memantau kemajuan anda dan memastikan anda mencapai kejayaan," katanya.

Beliau berkata, matlamat kementerian untuk melahirkan 100 jutawan setahun daripada kumpulan usahawan tempatan bukan hanya 'cakap kosong.'

"Kami mempunyai pelan untuk mencapainya," katanya.

Pada majlis itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aerodyne Group, Kamarul A Muhamed dianugerahkan Usahawan Terbaik manakala Pengasas Bersama dan CEO Kumpulan Carsome Eric Cheng serta Pengasas Bersama Carsome dan Pengarah Carsome Academy Teoh Jiun Ee dianugerahkan secara bersama Usahawan Tekno Terbaik.

Disiarkan pada: March 27, 2021 @ 7:01am
d